Kejayaan Norhasmira yang bakal ke Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 telah membanggakan seluruh warga UiTM.
Kejayaan Norhasmira yang bakal ke Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 telah membanggakan seluruh warga UiTM.

Saintis muda UiTM wakil Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-72

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
12 Jun 2023 11:21am

Pelajar pasca siswazah, Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Norhasmira Mohammad diberi pengiktirafan mewakili negara dalam Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 di Lindau, Jerman pada Jun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UiTM, kejayaan Norhasmira itu cukup membanggakan universiti kerana beliau akan membawa nama negara ke mata dunia dalam mesyuarat tersebut.

“Norhasmira akan disertai kira-kira 600 orang saintis muda dari seluruh dunia untuk menghadiri mesyuarat Nobel Laureate ke-72 berkenaan.

“Seluruh warga universiti melahirkan rasa syukur dan bangga dengan kejayaan beliau,” ujar kenyataan itu.

Mesyuarat Nobel Laureate merupakan platform terbaik kepada saintis muda yang juga peneraju sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) negara, bagi membina jaringan bersama saintis terbaik di peringkat antarabangsa.

Selain dapat bertemu dengan Pemenang Anugerah Nobel daripada pelbagai disiplin sains, mesyuarat itu juga mendedahkan saintis muda kepada contoh teladan (role model) para saintis sedia ada.

Malah ia turut memberi peluang saintis muda memperkenalkan penyelidikan masing-masing sekali gus membuka peluang untuk bekerjasama dengan saintis sedia ada di makmal bertaraf dunia.

Berkongsi secara ringkas latar belakang pendidikan Norhasmira, UiTM dalam kenyataan yang sama berkata, Norhasmira atau lebih mesra dipanggil Has, memulakan pengajian pada tahun 2018 dan bakal bergraduasi tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

“Norhasmira yang meminati bidang pengaturcaraan telah memilih Fakulti Pergigian UiTM untuk meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di bawah seliaan Profesor Dr Mohd Yusmiaidil Putera Mohd Yusof.

“Lima pelajar negara telah terpilih menyertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-72 ini dan hanya Norhasmira sahaja yang berjaya menempa nama sehingga ke peringkat akhir selepas mengharungi proses temu duga yang panjang,” ujar kenyataan itu.

Seterusnya, Norhasmira telah menerima jemputan ke Lindau, Jerman, pada hujung Jun 2023 sekali gus berpeluang menimba ilmu pengetahuan serta pengalaman bersama pakar saintis psikologi dan perubatan pada mesyuarat berkenaan.

“Terpilih ke mesyuarat Nobel Laureate ke-72 bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak kriteria dan prosedur yang perlu dipenuhi.

“Bagaimanapun Norhasmira berjaya buktikan yang dia layak untuk berada di sana bersama-sama saintis muda hebat yang lain.

“Lagipun, pemilihan Norhasmira sememangnya tepat kerana sebelum ini dia telah berjaya menghasilkan beberapa artikel berindeks dan memenangi pingat lebih daripada 10 kali pada pertandingan inovasi serta merangkul banyak pencapaian lain.

“Sewajarlah warga UiTM dan seluruh komuniti melahirkan rasa bangga kepada Norhasmira yang sentiasa berusaha keras, bersemangat dan tidak pernah putus asa dalam mengejar kejayaan,” ujar kenyataan tersebut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp