Mohd Zahari (tujuh dari kanan) bersama sebahagian pelajar yang baru sahaja mendaftar di Politeknik Tun Syed Nasir pada Ahad.
Mohd Zahari (tujuh dari kanan) bersama sebahagian pelajar yang baru sahaja mendaftar di Politeknik Tun Syed Nasir pada Ahad.

Sasar 500 pelajar TVET di 5 politeknik rintis

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
24 Jul 2023 02:42pm

Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menyasarkan kemasukan 500 pelajar baharu pada Program Asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sesi pertama 2023/2024 di kesemua lima politeknik rintis, hingga Rabu ini.

Lima politeknik rintis itu terdiri daripada Politeknik Tun Syed Nasir, Johor; Politeknik Merlimau, Melaka; Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang; Politeknik Ungku Omar, Perak dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi JPPKK dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) telah menyumbang lebih 40 peratus daripada guna tenaga TVET negara.

"Ini merupakan satu pencapaian besar dan tunjang pembangunan negara, maka wajar Program Asasi TVET ini diperkenalkan pada tahun ini,” ujarnya.

Mohd Zahari berkata, kadar kebolehpasaran graduan TVET khususnya di politeknik dan kolej komuniti telah melebihi 95 peratus, sekali gus menunjukkan graduan yang dihasilkan sangat diminati oleh pihak industri.

Program Asasi TVET ialah inisiatif terbaharu KPT dalam memperkasakan TVET sebagai persediaan khusus bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian selama setahun di mana-mana lima politeknik rintis, seterusnya berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di MTUN.

Difahamkan, empat MTUN yang terlibat dalam program berkenaan adalah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp