Sasarkan setiap karya filem ke pelbagai pertandingan
“Sentiasa menyasarkan setiap penghasilan karya filem ke pelbagai pertandingan sebagai pendedahan awal dan tidak hanya untuk memenuhi tugasan kursus semata-mata.”
Itulah pesanan Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif (Program Filem) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Perdana, Bebbra Mailin kepada generasi muda hari ini.
Katanya, galakan dan dorongan sentiasa diberikan buat anak-anak didik agar dapat menimba pelbagai pengalaman baru dan lebih bermakna melalui setiap pertandingan yang disertai.
Sambung anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu lagi, menjadi seorang pengarah atau penerbit sesebuah filem memerlukan pengetahuan dan pengalaman yang banyak kerana penghasilan karya adalah satu projek melibatkan berbagai jenis bidang.
“Untuk menjadi sutradara atau penerbit filem perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak seiring dengan minat kerana ia projek melibatkan berbagai-bagai bidang antaranya seni, teknikal dan pengurusan.
“Justeru, pelajar dan mahasiswa sering diingatkan untuk mendalami ilmu terlebih dahulu tentang seni perfileman agar mampu menghasilkan karya yang boleh menarik minat penonton sekali gus layak dipertandingkan di peringkat tertinggi,” ujarnya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Jelas Bebbra, pendedahan tentang kualiti filem terbaik yang sering dilakukan kepada penuntutnya adalah dengan menonton koleksi filem sama ada keluaran tanah air atau luar negara.
Bermula dari situ, mereka akan lebih memahami konteks teori, tema dan skrip filem agar mampu menghasilkan karya yang sama hebat dengan pengarah-pengarah terkenal.
Menyingkap penglibatan dalam bidang perfileman, anak sulung dari empat beradik ini memaklumkan yang dirinya tidak pernah terfikir untuk terlibat dalam dunia pendidikan lebih-lebih lagi mengajar program filem.
Namun, selepas mengambil jurusan berkenaan pada peringkat diploma seterusnya menyambung ijazah sarjana, ia telah membuka matanya tentang keseronokan dan kepuasan menghasilkan setiap karya seni.
“Sewaktu masih bergelar mahasiswa dulu, saya ada menghasilkan beberapa filem pendek dan mempertaruhkan filem berkenaan ke festival filem.
“Siapa sangka pada tahun 2015 saya telah berjaya memenangi anugerah Filem Terbaik dalam Kota Kinabalu Film Festival dan ia merupakan pengalaman pertama sepanjang terlibat dalam bidang ini,” ujarnya lagi.
Bercerita lanjut, Bebbra turut memberitahu, setakat ini beliau telah berjaya menghasilkan tujuh filem pendek termasuklah filem alternatif dan dokumentari.
Lebih menarik lagi adalah pada 2019, beliau pernah terlibat sebagai penerbit bagi filem Prebet Sapu yang telah dihantar mewakili Malaysia di Oscars.
Tambah Bebbra lagi, walaupun sibuk dengan mengajar, namun tidak menghalang dirinya yang kini sedang menyiapkan satu karya terbaru dan bakal ditayangkan di pawagam pada tahun hadapan berjudul Ninavau.
Ia merupakan sebuah filem berlatarbelakangkan budaya di Sabah dengan menampilkan pelakon-pelakon Negeri di Bawah Bayu itu.
Senarai pengarah Malaysia yang memenangi Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM)
Adrian Teh (Wira, Paskal The Movie)
Yusry Abdul Halim (Hikayat Merong Mahawangsa)
Syamsul Yusof (Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan)
Zulkarnain Azhar (Air Force The Movie: Selagi Bernyawa)
Ghaz Abu Bakar (Polis EVO)
Usamah Zaid Yasin (Ejen Ali: The Movie)
Chiu Keng Guan (Ola Bola)