
'Siapkan tugasan pensyarah sambil tutup mata' - Pengakuan pelajar guna ChatGPT cetus perdebatan warganet!
Jika dahulu, pelajar perlu menghabiskan berjam-jam di perpustakaan untuk mencari rujukan, kini semuanya boleh dicapai hanya melalui beberapa klik sahaja.
Sebagai contoh, Kecerdasan Buatan (AI) seperti ChatGPT, DeepSeek dan Gemini dikatakan mampu membantu pelajar memberikan penjelasan segera terhadap topik yang rumit, membimbing proses penulisan, membantu memperkemas struktur ayat dan sebagainya.
Untung anak-anak muda sekarang. Segalanya hanya di hujung jari.
Susulan banyak keistimewaan dalam AI, seorang pelajar dari universiti awam di Sarawak memuat naik satu hantaran pengakuan tentang cara anak-anak muda sepertinya menyiapkan tugasan dalam masa singkat.
Katanya, semua tugasan dan kerja kursus yang diberikan pensyarah berjaya disiapkan dengan sempurna hanya menggunakan ChatGPT Premium, Deepseek dan Gemini sahaja.
"Jujur daripada hati i la kan, i kesian kat lecturer-lecturer UNIMAS (Universiti Malaysia Sarawak) especially yang boomers. They were trying so hard nak bagi assignment berlambak, assignment last minute tapi sikit pun tak menyurkarkan kami.
"We can just tutup mata je siapkan sehari sebelum dengan bantuan ChatGPT Premium, Deepseek and Gemini. Assignments kami semua letup-letup you alls. Siap citations and references.
"Hujung-hujung sem carry mark kami semua kaw-kaw padu atas 50 peratus. Final exam pejam mata je nak dapatkan 30 peratus nak score A. Kesiankan diorang tak dapat nak game kita. FSSK (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan) student here," kongsinya yang memperkenalkan diri sebagai pelajar dari fakulti itu.

Hantaran yang dimuat naik 2 Mei lalu telah menarik perhatian warga maya hingga mencetuskan perdebatan.
Rata-ratanya tidak bersetuju dengan cara pelajar tersebut menyiapkan tugasan dengan bantuan pelbagai aplikasi.
Antara yang sempat dipetik Sinar Bestari adalah:
Reena Reez: "Saya bukan lecturer UNIMAS tapi alumni sahaja. Kalau ya pun gen awak semua macam ni, kita tunggulah bila masuk industri nanti. Tengok apa jadi. Tak semua masalah boleh selesai dengan AI. All the best anak-anak semua."
Nor Shazwani Shamshudin: Jangan suka sangat dik. Course kau amik tu mungkin mencabar untuk penempatan kerjaya nanti. Nak nak zaman IR 4.0. Zaman teknikal dan skil (TVET) ni. Hanya graduan yang lengkap dengan soft skills boleh survive. Tugasan bukan sekadar tentang markah, tapi nilai kau kutip sepanjang menyiapkannya. Ramai ja yang grad CGPA 2.7 dapat kerja lebih cepat berbanding yang dapat ANC. Yang jenis macam ni masuk alam pekerjaan nanti mulalah main isu mental health, work life balance. Sebab jiwa tak kental mental tak kuat.
Hidayah Shafee: "Kita pensyarah tahu je student guna ChatGPT. Kita pun boleh je nak bagi carry mark rendah. Kita sangat tahu semua tu. Kata lecturers boomers kan, we all live almost the same era as you. Semua trick kita tau je. Kadang-kadang kita nak tengok how well you play with it."
Ian Sebastian: "Tugasan hebatlah kan sebab ada AI. Cuba duduk exam. Cuba nanti praktikum. Attend meetings. Jawab soalan panel atau orang awam. Sana baru la awak tahu AI tak boleh tolong."

Dayah Kenit HK: "Sedih baca pemikiran macam ni. Awak menipu diri sendiri sebenarnya. Bukan menipu pensyarah. Kita datang uni untuk tuntut ilmu dan ubah cara berfikir. Kalau cara begini, nampaknya di dunia luar nanti hadaplah macam mana nak selesaikan konflik seharian."
Embok Ecot: "ChatGPT tak semestinya 100 peratus betul. Aku pernah cari nak buat projek akhir tahun. Ada nampak kesalahan ChatGPT buat sebab maklumat aku nak, tak sama dengan apa yang dia bagi. Ada yang betul tapi ada salah. Sebab tu kalau nak guna jangan copy paste habis. Guna ChatGPT pun kene ada ilmu, sebab tak semua dia bagi betul."
Murad: "AI sepatutnya jadi alat bantu, bukan mesin buat kerja. Kalau semuanya serah bulat-bulat kat ChatGPT, macam mana nak belajar analisis, fikir dan susun idea sendiri?"
Apa pendapat anda? Perlukah pelajar Malaysia terus bergantung kepada AI seperti ChatGPT atau tiba masanya kita mendidik mereka untuk berfikir sendiri?
