Siswa Jepun selami budaya Jawa di Johor
Seramai 25 mahasiswa dari institut pengajian tinggi (IPT) utama di Jepun menyelami kebudayaan masyarakat Jawa di Johor menerusi ‘Japanesse Language and Intercultural Programme’ anjuran Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Mereka yang menyertai program tersebut terdiri dalam kalangan penuntut Shizuoka University of Art and Culture (SUAC), Rikkyo University dan National Institute of Technology Kure College (Kure Kosen) dan telah menginap di inap desa Parit Bugis, Johor selama dua hari satu malam bagi membolehkan mengenali budaya masyarakat dengan lebih mendalam.
Kesemua peserta berpeluang tinggal bersama keluarga angkat tempatan, menikmati hidangan tradisi Jawa seperti nasi ambeng dan menjamu selera sambil duduk bersila seperti tradisi setempat.
Seorang peserta bernama Yuki Ito berkata, penyertaannya dalam program itu membolehkannya mengenali budaya masyarakat di kawasan sekitar dengan lebih dekat.
“Mengenal dan merasa sendiri pengalaman kehidupan budaya tempatan dan mendengar kisah-kisah tentangnya memberi peluang diri ini memahami beberapa perbezaan dan persamaan antara Jepun dan Parit Bugis.
“Walaupun kita boleh mencari segala-galanya di dalam talian sekarang, saya rasa kita dapat merasai budaya dengan lebih baik dengan pengalaman secara langsung,” ungkapnya.
Sementara itu, seorang penuntut bernama Ryosei Komura menzahirkan penghargaan atas layanan penduduk kampung yang cukup baik kepada mereka.
"Kami belajar banyak perkara antaranya adat duduk bersila dan makan dengan tangan serta berkongsi dulang menikmati nasi ambeng bersama rakan- rakan.
“Oleh itu, saya ingin berterima kasih kepada mereka kerana menyediakan hidangan tradisional, snek dan sarapan serta memperlakukan kami seperti keluarga sebenar,” jelasnya.
Sepanjang lawatan berkenaan, delegasi Jepun telah ditemani oleh wakil-wakil dari Pusat Pengajian Bahasa UTHM seperti Hiyama Junko, Yeoh Li Cheng dan Abdul Hadi Abd Aziz, serta Ketua Living Lab Muar, Ts Dr Nor Azizi Yusoff.
Mereka berpeluang melawat Rumah Tradisional Jawa (Keraton Mbah Anang) dan menerima penerangan mengenai seni bina rumah daripada Setiausaha Persatuan Jawa Parit Bugis (PERJAWA), Aliff Johar.
Rombongan turut mengunjungi perusahaan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti kuih cakar ayam dan kerepek tempe dengan menaiki gerabak.
Malam kebudayaan yang diadakan di Keraton Mbah Anang menjadi acara kemuncak program homestay ini dengan para peserta Jepun bukan hanya menonton persembahan budaya seperti Zapin, Kuda Kepang dan Barongan, malah mereka juga menyaksikan tarian tradisional Jepun seperti Soran Bushi yang merupakan tarian nelayan Jepun.
Dalam pada itu, masyarakat setempat sempat menikmati hidangan tradisional negara matahari terbit itu seperti Onigri menerusi program terbabit.
Manakala para peserta bermain beberapa permainan tradisional seperti dadu gergasi, boling kelapa, wau bulan dan gasing.
Akhir sekali, aktiviti kebudayaan seperti mewarna kain batik, membuat kuih ros, menganyam ketupat dan menebar roti canai menjadi penutup kepada program tersebut.
Aktiviti kebudayaan yang diadakan ini adalah sebahagian usaha untuk memahami dan menghargai budaya tempatan dengan lebih mendalam kepada penuntut Jepun.