84 Kawasan Parlimen APPGM-SDG.
84 Kawasan Parlimen APPGM-SDG.

Siswa UUM terpilih sertai program Matlamat Pembangunan Mampan

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
09 Mar 2023 06:13pm
A
A
A

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) adalah sebuah pertubuhan yang terdiri daripada ahli-ahli parlimen, ahli akademik, rakan penyelesaian isu dan aktivis masyarakat sivil.

Pertubuhan itu merupakan satu inisiatif bipartisan yang didorong untuk melaksanakan agenda SDG di kawasan pilihan raya Parlimen Malaysia.

Agenda SDG yang akan dilaksanakan adalah melalui analisa isu dan penyelesaian; penyelidikan secara akar umbi; perkongsian pelbagai pihak berkepentingan termasuk meningkatkan kesedaran dan pembangunan kapasiti di peringkat tempatan.

Bagi menyokong matlamat itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengesahkan penyertaan siswa mereka, Muhammad Saniy Samsudin dalam program Akademi MySDG Sustainable Development Goals (SDG) Belia 2022 / 2023 anjuran APPGM-SDG yang akan dilangsungkan di International Youth Centre (IYC) Cheras, Kuala Lumpur bermula 11 sehingga 13 Mac ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Shahimi Mohtar.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Shahimi Mohtar.



Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Shahimi Mohtar berkata, penyertaan siswa UUM tersebut bersama belia-belia lain yang aktif sebagai pemimpin dan berpotensi menjadi Agen SDG belia negara ini diharap dapat merealisasikan hasrat serta agenda SDG.

Ujar Shahimi, beliau yakin usaha dan sasaran AAPGM-SGD itu pasti tercapai bagi membangunkan negara ini pada masa depan.

“Penyertaan pelajar tahun akhir, Sarjana Muda Kewangan dan mantan Presiden Jawatankuasa kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa MAS / TNB, Muhammad Saniy bersama ahli-ahli parlimen, ahli akademik, rakan penyelesaian isu dan aktivis masyarakat sivil ini merupakan pengiktirafan kepada produk Universiti Pegurusan Terkemuka ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:



Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamad.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamad.



Dalam pada itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamad berkata, penyertaan siswa UUM itu merupakan peluang terbaik untuk berkongsi idea dan mengenal pasti beberapa isu di peringkat tempatan serta mampu memberi kesan kepada ekonomi dan alam sekitar demi kesejahteraan emosi untuk komuniti yang berbeza.

Jelasnya, beliau difahamkan sebanyak 84 kawasan Parlimen APPGM-SDG 2023 dari 13 negeri disenaraikan mempunyai 10 teras utama yang akan menempatkan SDG dan bekerjasama dalam mempamerkan kerjasama dwi-partisan dalam kalangan ahli Parlimen nanti.

“Diharapkan kerjasama ini boleh menyediakan jalan penyelesaian terbaik serta mampu menjaga kepentingan peringkat daerah serta memperkukuh aspek hak asasi manusia dan keadilan SDG,” katanya.

Sementara itu ulas Muhammad Saniy, penyertaannya dalam acara tersebut dapat membantu beliau untuk kenal pasti keperluan masyarakat serta isu yang dihadapi negara berdasarkan agenda SDG nanti.

Tuturnya, beliau berbangga kerana terpilih untuk menyertai program itu serta berjanji untuk menggunakan ilmunya sebaik mungkin bagi mendatangkan manfaat masyarakat.

“Saya sebagai pelajar UUM berasa bangga kerana terpilih untuk menyertai program ini dan akan menggunakan apa yang dipelajari sepanjang pengajian di kampus ini untuk membantu masyarakat dan negara secara amnya,” jelas Muhammad Saniy.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok