#SiswaKongsi inisiatif USM bantu gelandangan
Sukarelawan merupakan sebuah aktiviti yang dilakukan oleh sesebuah pihak tanpa sebarang paksaan dengan tujuan membantu kumpulan atau komuniti yang kurang bernasib baik.
Ia dilaksanakan dengan hati yang tulus ikhlas tanpa mengharap sebarang bentuk imbuhan mahupun pulangan.
Jadi tidak hairanlah sekiranya sukarelawan yang aktif berbakti mendapat manfaat seperti pembentukan keperibadian yang baik serta kemahiran insaniah.
Dalam kalangan mahasiswa khususnya, pelbagai kebolehan baru dapat dipupuk seperti komunikasi yang lebih efektif, semangat kerjasama yang lebih jitu, pengetahuan menguruskan logistik dan pelbagai lagi.
Namun, tiada nilai dan pelajaran lebih penting boleh didapati ketika menjalankan aktiviti sukarelewan selain meningkatkan rasa simpati dan empati antara satu manusia kepada manusia lain.
Atas sebab itu, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Aktivis Mahasiswa telah menjalankan program sukarelewan dengan membantu golongan gelandangan di sekitar Georgetown, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Melalui Santuni Gelandangan #SiswaKongsi, para sukarelawan telah mengagihkan makanan kepada golongan itu sekitar Georgetown.
Penyelaras program, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman berkata, 100 pek makanan telah diagihkan kepada golongan tersebut ketika aktiviti itu dijalankan.
Jelas Nazmi Hakimi lagi, kumpulan yang terlibat dengan program tersebut terdiri daripada 12 orang sukarelawan yang juga merupakan ahli kumpulan Aktivis Mahasiswa USM.
“Sepanjang program berlangsung kami berjaya mengagihkan 100 pek makanan kepada gelandangan di sekitar sini (Georgetown).
“Seramai 12 aktivis mahasiswa universiti telah terlibat dalam projek ini dan menyumbang kudrat untuk membantu golongan gelandangan.
“Semua sumbangan yang diberikan adalah hasil kutipan yang telah disalurkan oleh orang ramai serta aktivis mahasiswa sendiri,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Selain itu sambung Nazmi Hakimi, dia berharap untuk mengadakan program yang serupa dengan skala yang lebih besar pada masa depan.
Tuturnya, Ini adalah seiring dengan apa yang pernah disampaikan oleh Rasulullah SAW di mana Baginda bersabda: "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain." ( Hadis Riwayat at-Thabrani).
“Semoga kami dapat terus melaksanakan program #SiswaKongsi ini dalam skala yang lebih besar pada masa depan sesuai dengan nilai yang Baginda Rasulullah SAW ajarkan,” katanya.