Siti Shazwana, pelajar PhD UUM juara pencak silat dunia ke-20!
Pelajar Doktor Falsafah (PhD) (Pengurusan Awam) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menggegarkan pentas pencak silat dunia di Abu Dhabi, apabila meraih pingat emas baru-baru ini.
Siti Shazwana Ajak yang merupakan pesilat negara dinobatkan juara Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 bagi kategori Putri D (60-65 kilogram) selepas menumbangkan lawannya dari Thailand.
Kejayaan pelajar yang gemar dipanggil sebagai Wana itu, melayakkan dirinya membawa pulang pingat emas dan diangkat sebagai juara dunia sekali gus mendahului para peserta dari 55 negara seluruh dunia dalam perlawanan pada 18 hingga 22 Disember 2024.
“Kejohanan Dunia ini merupakan penampilan saya yang ketiga.
"Alhamdulillah, misi memburu pingat emas dapat direalisasikan yang mana sebelum ini saya hanya meraih pingat gangsa dan perak di edisi kejohanan dunia pada tahun 2018 dan 2022.
“Emas kali ini sangat bermakna untuk saya kerana perjuangan ini bukan saja untuk diri sendiri tapi buat Allahyarham mak, keluarga, jurulatih dan semua yang banyak membantu saya sepanjang persiapan ke kejohanan,” katanya dalam nada sebak.
Menyingkap perjuangannya, pelajar PhD dari UUM itu mengakui berdepan cabaran getir kerana undian yang diperolehi lebih kepada negara yang kuat dalam seni silat.
Kongsi Wana, dia perlu konsisten menampilkan aksi luar biasa dalam setiap pusingan dengan menewaskan pesilat Vietnam di suku akhir sebelum membenamkan pesilat Indonesia di separuh akhir. Dalam tiga perlawanan, paling sengit adalah Indonesia.
Seterusnya bertemu dengan Thailand, lawan yang terkenal dengan kekuatan fizikal dan strategi, namun dengan kepantasan, ketepatan dan kekuatan mental yang luar biasa, Wana berjaya mengatasi cabaran tersebut.
“Kejayaan ini menjadi bukti betapa pentingnya latihan yang konsisten dan semangat juang yang tinggi dalam mengejar impian,” katanya.
Jelasnya, silat merupakan salah satu seni mempertahankan diri yang perlu ada dalam diri seseorang memandangkan tekniknya mudah dipelajari dan sangat efektif untuk digunakan dalam saat yang tidak dijangka untuk mempertahankan diri.
Katanya, perkembangan positif dapat disaksikan dalam arena silat yang makin berkembang pesat di samping emnajdi platform kepada anak muda memasang impian untuk beraksi di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, kejayaan ini memberi inspirasi kepada semua atlet muda di Malaysia untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam sukan.
“Saya mengucapkan tahniah atas kejayaan yang amat membanggakan kemenangan ini bukan sahaja kemenangan peribadi, tetapi juga simbol semangat juang bangsa Malaysia.
“Dengan kemenangan ini, Wana telah membuktikan bahawa Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia dan membawa pulang pingat emas yang membanggakan.
Beliau juga berharap semangat juang yang ditunjukkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan dalam bidang pencak silat serta membuka peluang untuk generasi baru mengukir nama di persada dunia.
“Keberanian Wana untuk terus mencabar dirinya di pentas dunia menginspirasi seluruh rakyat Malaysia. beliau membuktikan bahawa dengan kerja keras, komitmen dan keyakinan diri, tiada yang mustahil untuk dicapai,” katanya.
Wana telah membuka mata dunia bahawa Malaysia hebat dalam pencak silat, kejayaan ini pasti akan memacu lebih banyak kejohanan dan pencapaian gemilang pada masa hadapan!