No Image Caption

SMART-Q UNITEN pupuk budaya mengaji al-Quran, jalin kerjasama dengan komuniti setempat

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
03 Oct 2023 10:07am

Sebagai seorang beragama Islam adalah amat penting untuk menyemarakkan nilai membaca dan mengaji al-Quran memandangkan kitab itu adalah panduan serta rujukan terpenting dalam segenap aspek kehidupan.

Ia perlu didedahkan dan disemai bermula dari peringkat kanak-kanak lagi supaya mereka mula mencintai kitab tersebut sehinggalah menjejakkan kaki ke alam dewasa.

Melihat kepada usaha menanam rasa cinta dan memupuk budaya mengaji al-Quran ini, mahasiswa tahfiz Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Business School, Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang telah mengadakan program mengaji SMART-Quran (SMART-Q).

Program kerjasama dengan komuniti Muadzam Shah, Pahang itu melibatkan seramai 60 remaja berumur antara enam hingga 13 tahun serta 10 tenaga pengajar yang merupakan pelajar Pensijilan Tahfiz al-Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)-UNITEN.

Menurut salah seorang pengajar, Muhammad Nawfal Wafi Mohd Sabri, program dianjurkan untuk membina hubungan lebih rapat antara pelajar tahfiz dan penduduk Taman Redan Perdana, Muadzam Shah dalam menyebarkan ilmu agama.

SMART-Q jalin kerjasama dengan komuniti setempat beri pendedahan tentang ilmu agama.
SMART-Q jalin kerjasama dengan komuniti setempat beri pendedahan tentang ilmu agama.

Artikel Berkaitan:

“Bukan itu sahaja, dengan adanya program ini pelajar tahfiz juga dapat melatih kemahiran mengajar dan berkomunikasi dengan orang lain.

“Ia juga sekali gus membantu penduduk terutamanya golongan remaja meningkatkan pengetahuan mereka tentang al-Quran,” ujarnya.

Program SMART-Q telah berlangsung selama sejam pada setiap hari Isnin hingga Rabu di surau taman tersebut sejak dari Januari 2023.

Setiap pelajar yang terlibat akan diberikan buku rekod mengaji untuk dinilai mutu dan kelancaran bacaan setiap hari.

Sementara itu, penasihat program yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Perakaunan dan Kewangan UNITEN, Nurul Nadiah Ahmad berkata, program tersebut adalah contoh terbaik dalam menyampaikan pendidikan agama kepada masyarakat.

"Program ini adalah contoh yang baik tentang bagaimana pendidikan agama boleh disampaikan dan difahami dengan lebih baik melalui kerjasama dan interaksi positif.

“Kerjasama antara pelajar tahfiz dari UNITEN dan komuniti Muadzam Shah melalui program SMART-Q membawa manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak dan diharapkan akan berterusan dalam jangka masa panjang dalam membina pemahaman yang lebih mendalam khususnya aspek keagamaan,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp