Golongan gelandangan perlu dibantu bukan sahaja daripada sudut makanan atau kewangan, tetapi juga dibantu dalam aspek emosi.
Golongan gelandangan perlu dibantu bukan sahaja daripada sudut makanan atau kewangan, tetapi juga dibantu dalam aspek emosi.

Sukarelawan USIM turun padang bantu gelandangan

ROSHLAWATY MD RAIEH
26 Mar 2024 11:14am
A
A
A

Menghulurkan sumbangan kepada komuniti gelandangan di Kuala Lumpur sering menjadi aktiviti utama masyarakat dalam meringankan beban yang ditanggung golongan berkenaan.

Bantuan seperti makanan, barangan keperluan dan wang tunai adalah antara yang diberikan kepada gelandangan yang tinggal di bandar raya Kuala Lumpur.

Terbaharu, 20 sukarelawan yang terdiri ahli Kelab Pembimbing Rakan Universiti (PRU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sepakat mengumpul pakaian terpakai dan wang tunai untuk diagihkan kepada gelandangan dan miskin bandar, Jumaat lalu, bersempena program Sinar Ramadan.

Pengarahnya, Nurul Nadia Ibrahim berkata, program yang julung kali diadakan itu bertujuan melahirkan rasa tanggungjawab dan empati terhadap golongan kurang bernasib baik di samping membudayakan amalan bersedekah terutamanya di bulan Ramadan.

“Walaupun gelandangan, mereka juga sama seperti kita. Perlu dibantu bukan sahaja daripada sudut makanan atau kewangan, tetapi juga dibantu dalam aspek emosi,” ujarnya.

Mengulas mengenai pakaian terpakai pula, Nurul Nadia berkata, sebanyak 35 kotak pakaian berjaya dikumpul dan diagihkan kepada gelandangan yang majoritinya begitu gembira dengan apa yang diterima.

“Kami menyediakan ruang pengumpulan pakaian terpakai di dalam kampus dan tempoh disediakan adalah selama dua minggu.

“Sambutan cukup menggalakkan dan saya merakam ucapan terima kasih kepada komuniti sekitar kerana sudi membantu,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, program Sinar Ramadan merupakan anjuran Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Pusat Hal Ehwal Pelajar, USIM; Kelab PRU USIM; Kelab Peers Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM); Food for Gelandangan (FFG) dan Jejak Jalanan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), USIM, Profesor Datuk Dr Adnan Mohamed Yusoff telah merasmikan program bersama gelandangan itu di Kuala Lumpur.

Turut serta Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar USIM, Md Ishah Rahman, Pengarah Pusat Kaunseling, Kerjaya dan Alumni UPNM, Sharizan Samad, pegawai-pegawai universiti dan ahli Majlis Perwakilan Pelajar USIM.

Selain sumbangan makanan, keperluan harian dan wang tunai, program Sinar Ramadan turut menyediakan pemeriksaan kesihatan dan aktiviti sokongan psikologi oleh pasukan sukarelawan paramedik dan kumpulan kaunselor Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Pusat Hal Ehwal Pelajar USIM.

Sementara itu, Adnan berkata, program dapat memupuk semangat insaniah dalam diri penuntut selaras dengan usaha melahirkan mahasiswa holistik dan berpesonaliti unggul.

Dalam masa sama, ia sebagai pendedahan untuk menerapkan nilai murni dalam diri mahasiswa agar bersifat empati dan sentiasa menekankan adab ketika membantu golongan kurang bernasib baik.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok