
Tablet harapan: YCU bantu pelajar rentasi jurang digital
Dalam era digital yang pesat membangun, akses kepada teknologi bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.
Menyedari hakikat ini, Yayasan Canselor Universiti Tenaga Nasional (YCU) mengambil langkah proaktif dengan menyampaikan bantuan tablet pembelajaran kepada pelajar daripada golongan kurang berkemampuan dan pelajar kelainan upaya.
Inisiatif penuh makna ini bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan mahasiswa, agar tiada yang tercicir dalam mengejar kecemerlangan akademik hanya kerana kekangan peranti pembelajaran.

Menurut Pengarah YCU, Shazlini Osman, program sumbangan ini digerakkan bersempena keberkatan bulan Ramadan dan diteruskan sempena Syawal sebagai tanda kesyukuran serta semangat kebersamaan.
"Tablet ini bukan sekadar peranti teknologi, tetapi simbol harapan, sokongan dan keyakinan bahawa setiap pelajar berhak mendapat akses kepada pembelajaran yang lebih baik. Kekurangan diri bukan satu penghalang untuk menggenggam segulung ijazah," katanya kepada Sinar Bestari selepas majlis penyerahan tablet di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi, pada Rabu.
Seramai 20 orang pelajar dari Uniten termasuk mahasiswa dari enam universiti lain di sekitar Lembah Klang terpilih sebagai penerima. Penyerahan tablet telah disempurnakan oleh Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.

Tablet ini ubah segalanya
Antara penerima ialah Muhammad Adam Hafiq, pelajar Ijazah Sarjana Muda Robotik dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysia France Institute (MFI), yang meluahkan rasa syukur atas sumbangan berkenaan.
"Terima kasih kepada YCU dan Uniten kerana sudi menyumbangkan tablet kepada saya. Ia sangat memudahkan urusan tugasan saya, tak perlu lagi bersusah payah seperti sebelum ini," katanya penuh terharu.
Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Ekonomi dari Uniten, Nursyafiqah Danil, turut berkongsi keterujaannya.
"Saya sangat terkejut apabila terpilih menerima tablet ini. Walaupun hari ini saya ada peperiksaan, saya tetap hadir kerana ini satu peluang yang amat berharga. Saya akan gunakan peranti ini sebaiknya untuk menuntut ilmu hingga ke alam kerjaya," katanya.
Inisiatif ini bukan sahaja membekalkan keperluan pembelajaran, malah menyuntik semangat baharu buat para pelajar untuk terus melangkah maju.
Dalam suasana Syawal yang membawa sinar kemenangan, bantuan seperti ini menjadi simbol kasih sayang dan keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.
Dengan harapan agar lebih banyak institusi tampil memberi sokongan, YCU membuktikan bahawa pendidikan yang inklusif dan berdaya saing mampu dicapai apabila semua pihak berganding bahu menjayakannya.