66 beg darah dalam Kempen Derma Darah USIM
Pusat Darah Negara (PDN) menyasarkan kutipan sebanyak 300 beg darah menerusi Kempen Derma Darah yang dianjurkan di Kompleks Islam Tuanku Mukhriz, Universiti Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini.
Bagaimanapun, hanya 66 beg darah yang dapat dikumpul melalui kempen tersebut.
Menurut Penolong Pegawai Penerangan, Nurshani Amsain, jumlah beg darah itu akan diagihkan kepada beberapa hospital yang memerlukan di seluruh negara.
“Terima kasih kepada pensyarah, kakitangan dan penuntut USIM yang sudi menderma darah bagi membantu pesakit yang memerlukan.
“Semoga lebih ramai masyarakat dapat menderma darah selepas ini sekali gus mampu menyelamatkan banyak nyawa yang berharga,” ujarnya.
Sementara itu, mahasiswa Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM, Nurafnan Ahmad Maruzi berkata, ini adalah kali pertama dia menderma darah kepada PDN.
“Alhamdulillah, tiada sebarang kesan sampingan selepas menderma darah.
“Insya-ALLAH, selagi sihat dan terdaya, saya akan terus menderma darah untuk membantu mereka yang memerlukan,” ujar Nurafnan.
Maklumat Penulis
Mahasiswa USIM, Anis Sofiyah Zakirunizam dari kelas ACJ 3083
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my