
Taylor’s University lantik empat Tokoh Industri Seni bimbing pelajar bakat masa hadapan
Taylor’s University mengukuhkan komitmen dalam melahirkan bakat seni berkualiti apabila melantik empat tokoh tersohor industri sebagai Profesor Adjung bagi Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian).
Pelantikan ini bertujuan merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan dunia sebenar industri, sekali gus membuka ruang kepada pelajar mendapatkan bimbingan terus daripada penggiat seni berpengalaman.
Antara tokoh yang terpilih ialah pelakon terkenal Siti Saleha Mohd Baharum dan Datin Marlia Musa bagi pengkhususan Persembahan.
Siti Saleha yang sinonim dengan lakonan penuh penghayatan akan berkongsi pengalaman mengenai lakonan skrin, penjenamaan peribadi dan persediaan kerjaya dalam industri TV, filem serta komersial.
Marlia pula, seorang pelakon dan pendidik seni berpengalaman akan membantu pelajar mengukuhkan kreativiti, disiplin serta identiti artistik supaya bersedia menghadapi keperluan industri seni persembahan tanah air.
Bagi pengkhususan Muzik, ikon seni negara Datuk Dr Mohamad Nasir Mohammed Sam, atau lebih dikenali sebagai M Nasir, turut dilantik. Beliau akan memberi pendedahan mengenai proses kreatif penulisan lagu, gubahan, penerbitan muzik dan strategi membina kerjaya muzik yang mampan.
Sementara itu, dunia tarian diperkuatkan dengan kehadiran bekas Principal Ballerina bertaraf antarabangsa, Maria Sascha Khan. Pengalaman beliau dalam persembahan, koreografi dan kerjasama budaya di pelbagai negara bakal memperluaskan perspektif pelajar mengenai tarian sebagai bahasa seni sejagat.
“Kami amat berbesar hati menerima barisan tokoh industri ini sebagai Profesor Adjung,” kata Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan, Taylor’s University, Raziman Sarbini.
“Wawasan dan bimbingan mereka akan memperkayakan pengalaman pelajar serta membantu mereka meneroka potensi kreativiti masing-masing,” ujarnya.
Untuk rekod, Program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian) Taylor’s University menawarkan tiga pengkhususan iaitu Persembahan, Muzik dan Tarian yang menekankan asas akademik kukuh bersama pendedahan sebenar industri.
Langkah ini dijangka memberi impak besar dalam melahirkan generasi muda berbakat, kreatif dan bersedia menyertai industri seni yang sentiasa berubah.
Ringkasan AI
- Taylor's University melantik empat tokoh industri seni sebagai Profesor Adjung untuk Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan
- Pelantikan bertujuan untuk memperkecil jurang antara teori dan praktik industri, memberi peluang bimbingan langsung kepada pelajar
- Tokoh terpilih termasuk Siti Saleha Mohd Baharum dan Datin Marlia Musa untuk Persembahan, Datuk Dr Mohamad Nasir Mohammed Sam untuk Muzik, dan Maria Sascha Khan untuk Tarian
- Program ini bertujuan mengukuhkan asas akademik pelajar sambil memberi mereka pendedahan kepada dunia seni sebenar
- Inisiatif Taylor's University ini diharapkan dapat melahirkan generasi baru yang berbakat, kreatif dan siap sertai industri seni
