Teruskan tradisi jamu nasi talam percuma
Sepanjang Ramadan tahun ini, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil inisiatif bergotong-royong memasak dan menjamu nasi talam secara percuma kepada mahasiswa untuk dijadikan juadah berbuka puasa.
Dikatakan, inisiatif itu adalah tradisi tahunan UTeM dalam mengeratkan silaturahim antara kakitangan dan golongan mahasiswa.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kakitangan universiti menerusi setiap Pusat Tanggungjawab (PTj) akan memasak mengikut giliran di perkarangan Masjid Sayyidina Abu Bakar bagi penyediaan hidangan iftar.
Biarpun kakitangan pentadbiran dan akademik sibuk dengan tugas harian masing-masing, Massila memberitahu, kekangan tersebut tidak pernah menghalang mereka untuk bersama-sama menyediakan menu berbuka terutamanya kepada penuntut B40.
Pada masa yang sama, sukarelawan dalam kalangan mahasiswa UTeM juga membantu setiap hari bagi menjayakan projek kebajikan berkenaan.
Mengulas lanjut, Massila berkata, peruntukan bagi menjayakan projek tersebut dianggarkan lebih RM200,000 melalui Tabung Kewangan Masjid Sayyidina Abu Bakar, Tabung Amal Jariah UTeM dan Pusat Islam UTeM.
Malah, penyediaan juadah iftar juga dibiayai dengan dana yang diperolehi hasil sumbangan dan kutipan dalam kalangan kakitangan UTeM, pelbagai lapisan masyarakat dan sektor korporat.
Dalam pada itu, berteraskan kepada kecaknaan UTeM kepada kebajikan penuntut, pihak universiti turut menyediakan makanan dalam bentuk bufet kepada mereka untuk bersahur di Masjid Sayyidina Abu Bakar.
“Kuantiti penyediaan makanan disediakan kepada lebih 350 mahasiswa yang hadir seterusnya dapat menunaikan solat sunat dan solat subuh berjemaah di sini,” akhiri Massila.