Timbalan Menteri Agama santuni mahasiswa Malaysia di Mesir & Arab Saudi
Menyedari perjuangan para pelajar Malaysia yang menuntut ilmu di perantauan khasnya luar negara, telah menjentik hati seorang ayah yang juga pemimpin masyarakat untuk tampil memberi kata-kata semangat.
Kesudian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir dan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi sewaktu menunaikan ibadah umrah memberi semangat kepada mereka.
Walaupun diklasifikasikan sebagai lawatan peribadi dan singkat, jadual Zulkifli penuh dengan sesi bersama para pimpinan pelajar dan penerima anugerah kecemerlangan termasuk Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian.
"Perjumpaan ini bertujuan memberi sokongan moral dan motivasi kepada pelajar yang berada jauh di perantauan. Banyak perkara yang kami bincangkan dan ia boleh dilaksanakan untuk manfaat bersama," maklum beliau.
Dalam pertemuan di kedua-dua buah negara itu, Zulkifli turut menyampaikan perkongsian tentang perkembangan terkini Malaysia Madani, isu-isu semasa dan aspek kenegaraan serta peranan Malaysia pada peringkat antarabangsa, termasuk sebagai Pengerusi ASEAN.
Beliau turut memberi lebih peluang kepada para pelajar untuk memberikan perkongsian dan buah fikir dalam sesi dialog dengan mereka.
Tidak dilupakan penekanan terhadap aspek keilmuan dan peri pentingnya pemikiran wasatiy, inklusif, damai serta meraikan kepelbagaian.
“Ilmuwan mesti mempunyai kemahiran dan ketinggian akhlak, mampu menguruskan kepelbagaian, selain saling hormat menghormati sebaiknya,” kata Zulkifli.
Beliau menegaskan bahawa generasi kini adalah trend setter dan thought leader untuk memacu dan menerajui ASEAN sebaiknya. Malaysia menjadi rujukan serantau dan dunia.
"Rakyat Malaysia perlu disibukkan dengan perkara yang lebih produktif, membina dan mendamaikan. Kita tidak boleh hilang fokus sekiranya ingin membawa Malaysia ke arah lebih gemilang di persada dunia," tambahnya lagi.
Universiti Al-Azhar dan Universiti Islam Madinah merupakan institusi pilihan utama pelajar Malaysia untuk mendalami bidang agama di luar negara.
Zulkifli juga menghadiahkan beberapa buah buku tulisan beliau dan sedikit sumbangan peribadi kepada pimpinan pelajar.