Ucapan Naib Canselor UPSI buat ramai menangis, hampir sejuta tonton di media sosial
Sebak mendengar ucapan cukup bermakna yang disampaikan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff sempena Istiadat Konvokesyen UPSI ke-25 Sesi 7, baru-baru ini.
Ucapan tentang ‘suara seorang abah yang kadang disembunyi, suara hati yang kekadang tak diketahui oleh sang isteri, apatah lagi anak-anaknya yang masih tercari-cari’ membuatkan warga maya gagal menahan air mata mereka ketika menonton video yang dikongsi Sinar Bestari menerusi beberapa platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
Antara komen warganet yang sempat dipetik ialah:
SyaSya Jenny: Sebaknya dengar ucapan dari seorang ayah khas untuk anaknya. Semoga anak-anak sentiasa menjaga nama baik keluarga dan berjaya di dalam apa jua bidang yang diceburi.
Norhana Md Zain: Allahhhh...ketat dan sebak dada ini mendengar setiap bait kata-kata yang dilontarkan.
Rozita Alwi: Sangat sedih mendengar. Kerana sayalah ibu sayalah abah. Akanku pikul amanah menjaga tiga puteri titipan Dia dan arwah hingga nafas terakhir.
Norsalwana Mohammad: Terbaik, amat menusuk, terima kasih.
Sya Kir: Sungguh indah bahasa. Sebak rasa.
Linda Waslie: Sungguh indah ucapan seorang bapa, tersusun rapi dengan makna yang lembut tapi dalam maksudnya
Irma Aznita Haqulyakin: Ucapan yang terbaik. Lengkap dengan pesanan dan ingatan serta panduan hidup.
Laman Arca Mozek: Semoga usaha dan pesanan beliau menjadi pedoman buat generasi muda begitu juga kekentalan jiwanya harus dijadikan contoh. Dia mungkin seorang abang, seorang adik, seorang ayah, seorang datuk bagi anak-anak generasi muda.
Pisah Md Sen: Suara hati ikhlas daripada seorang bapa dan ibu yang terkadang kita tak tersedar pengorbanannya.
Di sini, Sinar Bestari kongsikan bait-bait ucapan yang sarat dengan nasihat dan pesanan buat semua graduan.
Semoga ia memberi inspirasi dan kekuatan kepada mereka untuk terus melangkah maju dengan penuh keyakinan dan semangat.
*****
Coretan isi hati seorang bapa.
“Adik-adikku, telah lebih 20 sidang konvo saya berbicara dan menasihati kalian, menasihati tentang kehidupan, menasihati tentang kejayaan, menasihati tentang keberkatan.
Hari ini, izinkan saya coretkan suara peribadi, suara seorang abah yang kadang disembunyi, suara hati yang kekadang tak diketahui oleh sang isteri, apatah lagi anak-anaknya yang masih tercari-cari.
Kelmarin saya menghadiri istiadat konvo anak saya di sebuah universiti ternama. Keterujaannya lain macam yang saya rasa. Bangga, sebak, gembira semuanya ada al maklumlah anak berjaya menamatkan pengajian panjangnya.
Walau viral berpuluh ucapan, walau berkhidmat lebih 25 tahun di Suluh Budiman, aura kelmarin terasa terlalu amat berlainan, mempersaksi anak melangkah bangga di pentas idaman, menerima skrol dari para bangsawan, memori manis yang akan kekal sepanjang zaman.
Hai anak, sesungguhnya di hari besar yang kau damba, baik raja, baik YB, baik ulama, baik Naib Canselor universiti ternama, semuanya sebak tidak terkata.
Walaupun pentas dan rostrum permainan biasa namun momennya tak akan sama, melihat anak berjalan kemas bab pendekar atau pun ratu dunia, manisnya yang amat, tak tersedar tertitis si air mata.
Air mata lelaki terlalu amat mahal, kalu terlihat tertitis pasti akan disangkal, namun kelmarin teramatlah janggal, berjurai tertitis di lantai karpet yang tebal.
Hai anak, ketika engkau dilahirkan, terkabul sudah satu impian, impian nyata kurniaan Tuhan, kini engkau menempah kejayaan, tertunailah sudah amanah keibubapaan.
Hai anak, kini kau telah dewasa, menggenggam ijazah tanda kau berjaya, jasa baba dan umi jangan sesekali kau lupa, terjatuh tersandung semuanya kami rahsia, mental health, healing, staycation kami tak dan merasa, siangnya sibuk bekerja, malamnya menghantar tuisyen pula, berlelah letih agar kau jadi manusia, manusia berjasa buat nusa dan bangsa.
Ingatlah di namamu ada nama kami juga, amanah yang wajib untuk kalian jaga, jangan sesekali kau tertipu dengan manisnya dunia kerana akhirat sana destinasi kita sebenarnya.
Banggakan baba dan umi anak-anakku, jangan dilupa papa dan mama adik-adikku, balaslah jasa abah dan emak wahai mahasiswaku, kelak kita akan bahagia di syurga ALLAH yang satu. Selamat kau berjaya wahai kau anak.”
Sementara itu, Naib Canselor UPSI turut meninggalkan komen kepada Sinar Bestari susulan tularnya video beliau.
“Jutaan terima kasih SinarBestari, pesanan ikhlas buat anak-anak kita semua jua. Suara hati ikhlas dari seorang bapa dan ibu yang terkadang kita tak tersedar pengorbanannya,” catatnya.