Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bersama wakil UCSI di Majlis prapelancaran Universiti UCSI Kampus Cawangan Bangladesh. Kredit foto: portal UCSI
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bersama wakil UCSI di Majlis prapelancaran Universiti UCSI Kampus Cawangan Bangladesh. Kredit foto: portal UCSI

UCSI lebar sayap ke Bangladesh

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
07 Feb 2023 05:36pm
A
A
A

University College Sedaya International (UCSI) terus mengukuhkan statusnya sebagai sebuah institut pengajian tinggi (IPT) terkemuka dengan melancarkan kampus cawangan antarabangsa yang pertama di Bangladesh, baru-baru ini.

Bakal dikenali sebagai UCSI Bangladesh, ia adalah hasil kerjasama dengan Insight of Learning di Bangladesh dan bakal beroperasi pada Mei nanti.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika memberi ucapan. Kredit foto: portal UCSI
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika memberi ucapan. Kredit foto: portal UCSI

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelancaran kampus itu bertepatan dengan rancangan pengantarabangsaan kementerian.

Ujarnya, usaha mereka untuk melebarkan sayap hingga ke pasaran pendidikan antarabangsa ini juga layak dipuji dan harus dijadikan contoh serta ikutan.

“UCSI cawangan Bangladesh akan terus mengangkat status Malaysia sebagai sebuah hab pendidikan global dan inisiatif pasca pandemik UCSI.

“Usaha UCSI ini wajar dipuji dan saya menggalakan ia dijadikan sebagai contoh dan ikutan universiti swasta yang lain.

“Ini juga menunjukkan jenama pengajian tinggi di Malaysia adalah berkualiti dan mampu memberi impak kepada pasaran pendidikan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Majlis Prapelancaran Kampus UCSI Bangladesh di Hotel Le Quadri, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Naib Canselor Universiti UCSI, Profesor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir.

Ujar Siti Hamisah, kampus baharu itu akan memberi fokus kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) sebelum beralih kepada rantai nilai (value chain).

Tambah beliau, untuk mengoptimumkan kemenjadian graduan serta memperbaiki peluang, mereka akan menawarkan program yang menjadi keperluan serta berdasarkan trend ekonomi seperti yang digariskan oleh rakan kongsi mereka di sana.

“Kami tetap akan mengutamakan penyelidikan, pendidikan eksekutif serta kerjasama yang merentas kampus selaras dengan pertumbuhan organik kampus baharu ini,” katanya.

UCSI Kampus Bangladesh akan menawarkan 24 program ijazah dan sarjana dalam bidang perniagaan, sains, komputer, kejuruteraan, seni bina, sains sosial dan reka bentuk.

Ini merupakan cawangan keempat UCSI serta kampus antarabangsannya yang pertama selepas membuka satu di Kuala Lumpur, Kuching, dan Seremban.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok