UiTM perkasa kesejahteraan psikologi murid Orang Asli

AZLEENDA SAHALUDIN
10 Feb 2023 05:02pm
A
A
A

Tahap kesedaran tentang kesejahteraan psikologi terutamanya pada peringkat awal pembangunan murid sekolah amat penting untuk diterapkan.

Kegagalan melakukan perkara itu akan mengundang kepada risiko ketinggalan dalam akademik sekali gus menyebabkan masalah-masalah lain seperti ketidakhadiran serta keciciran.

Bertepatan dengan isu itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Pahang telah menganjurkan program Bengkel Anak Cemerlang: Aku dan Keluarga yang melibatkan 37 murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tahan, Pahang.

Program berkenaan merupakan kesinambungan daripada Geran Penyelidikan yang diketuai Pensyarah Kanan UiTM, Dr. Nurshahira Ibrahim dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang yang memberi fokus kepada kesejahteraan psikologi murid Orang Asli.

Menurut Rektor UiTM Cawangan Pahang, Profesor Ts Dr Mohd Ilham Adenan, tujuan program ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada murid supaya mereka peka, prihatin dan berkasih sayang terhadap keluarga serta membentuk suasana keluarga harmoni dan sejahtera.

“Program sebegini amat signifikan diadakan kerana memberi nilai tambah kepada murid Orang Asli tentang penghayatan nilai kehidupan, perkembangan peribadi dan memberi sokongan berpanjangan terhadap pencapaian akademik mereka.

“Malah ia juga dilihat sebagai salah satu cara untuk membantu mereka menjadi warganegara yang sihat fizikal, mental dan rohani sehingga mampu memberi sumbangan kepada negara pada masa hadapan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan, baru-baru ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Kanan LPPKN Negeri Pahang selaku penceramah khas, Siti Asmad Zakarni; Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Profesor Madya Dr Nazirah Ramli; Ketua Pusat Pengajian Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Dr. Asjad Mohamed; Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Hazlinda Mohd Taha serta barisan guru-guru pengiring.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Ilham lagi, pihaknya menyambut baik saranan sekolah bagi menyuburkan aktiviti-aktiviti komuniti murid Orang Asli dengan meraikan, mengiktiraf dan menghulur tangan untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kesejahteraan hidup.

“Jalinan kerjasama yang lebih jitu antara sekolah dan LPPKN dapat menjadi penyumbang utama kepada pembangunan murid Orang Asli untuk masa depan yang lebih positif.

“Ini kerana kita mengetahui peringkat awal kanak-kanak, mereka jarang terdedah dengan kesedaran kesejahteraan psikologi yang menjadi tunggak utama kepada kerjaya pada masa depan yang secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada proses pembelajaran mereka di sekolah,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok