Hamidah (tengah) bergambar bersama penerima geran industri antarabangsa Noor Azlina (kanan) serta Jamalunlaili (dua dari kanan).
Hamidah (tengah) bergambar bersama penerima geran industri antarabangsa Noor Azlina (kanan) serta Jamalunlaili (dua dari kanan).

UiTM terima perisian simulasi pintar logam dan pembuatan Korea

11 Jul 2024 09:47pm

Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi universiti pertama di Malaysia yang menerima perisian simulasi pembuatan logam Advisor for Metal Forming process Design Experts (AFDEX) dan geran industri antarabangsa daripada Metal Forming Research Corporation (MFRC) Korea.

Perisian itu akan digunakan di Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar, Sekolah Kejuruteraan Mekanikal UiTM, dibuka untuk penyelidikan dan kerjasama industri.

Perisian itu telah menempa kejayaan dalam industri logam di Korea, Jerman, Jepun, China, Thailand, Indonesia, India dan Turki.

Ia berfungsi mengurangkan masa pemprosesan, kos dan pengoptimuman aliran logam, inovasi pintar dalam industri logam serta proses penempaan yang inovatif.

Presiden MFRC, Profesor Mansoo Joun berkata, derma dan geran industri antarabangsa telah dianugerahkan kepada ketua program merangkap Felo SMRI UiTM, Profesor Madya Ir Dr Noor Azlina Mohd Salleh.

Pengiktirafan itu hasil daripada program latihan industri tahunan yang cemerlang, kerjasama penyelidikan, dan inisiatif mobiliti seperti program musim panas serta persidangan yang telah berlangsung sejak 2016.

Penghargaan juga diberikan kepada Dr Mohd Kaswandee, ahli MFRC dan alumni UiTM, yang telah mengekalkan hubungan rapat dengan UiTM serta SMRI.

Selepas menamatkan pengajian Sarjana dan PhD di Gyeongsang National University (GNU), beliau telah aktif dalam beberapa kerjasama dengan Noor Azlina.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tiga lagi alumni Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Amirah Nabilah Azman, Nurul Aqilah Razali dan Afaf Amera Abd Ghawi telah menamatkan pengajian pasca siswazah mereka dengan tajaan penuh daripada kerajaan Korea dan MFRC.

Perisian yang sangat digunakan dalam industri Korea itu akan diperkenalkan kepada industri logam di Malaysia melalui geran industri antarabangsa dan pertukaran kakitangan.

Penolong Naib Canselor Kolej Kejuruteraan UiTM, Profesor Ir Dr Hamidah Mohd Saman berkata, UiTM berasa bangga menjadi universiti pertama di Malaysia yang menerima perisian ini dan geran industri antarabangsa.

“Dengan bekerjasama rapat dengan rakan industri Korea seperti MFRC, kita dapat menyediakan penyelesaian kepada industri logam untuk menjadi kompetitif melalui penambahbaikan yang akan diperoleh melalui perisian simulasi sekali gus menyediakan para pelajar dalam kepakaran dan kemudahan simulasi Korea selaras dengan Dasar Nasional Industry4WRD,” kata beliau.

Di samping itu, UiTM dan MFRC Korea Selatan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama strategik yang menambah dimensi nilai baru kepada pembangunan industri logam serta kemajuan pihak-pihak penting yang terlibat.

Presiden MFRC, Profesor Dr ManSoo Joun mengharapkan MFRC dan UiTM akan mendapat manfaat daripada pertukaran budaya bagi meningkatkan nilai graduan yang dihasilkan serta kelestarian industri logam.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) Profesor Dr Jamalunlaili Abdullah, Pengarah Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar, Profesor Dr Aman Ihsan Mamat, serta Pengarah Jaringan Industri UiTM, Profesor Dr Muhammad Hussain Ismail,.

Untuk makluman, MFRC merupakan sebuah syarikat perkhidmatan simulasi pembentukan logam terkemuka di Korea.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp