UMK jalin kerjasama erat dengan Universiti Kyushu dan Universiti Osaka di Jepun
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Kyushu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Sabtu yang merangkumi bidang akademik, penyelidikan, mobiliti mahasiswa dan kakitangan universiti untuk kerjasama di peringkat antarabangsa.
Menurut Naib Cancelor UMK, Profesor Datuk Dr Razli Che Razak, dengan terjalinnya kerjasama dua hala itu, ia sekali gus memperkukuhkan hubungan antara UMK dan Universiti Kyushu yang bermula dari tahun 2018 melibatkan penyelidik dari kedua-dua universiti berkenaan.
Beliau berkata, hasil kerjasama itu juga telah menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh artikel jurnal berimpak tinggi termasuklah perkongsian sumber melibatkan pertukaran sampel dan perkhidmatan analisis.
“Pada kerjasama baharu ini, kedua-dua universiti komited untuk meneruskan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pertukaran penuntut dan penerokaan ruang kerjasama baharu termasuk perkongsian sumber seperti fasiliti, bahan dan dana penyelidikan.
“Kami di UMK optimis untuk membuka ruang kerjasama yang lebih luas dan tidak terhad hanya kepada penyelidikan malah melibatkan pertukaran dan mobiliti mahasiswa, staf serta pelbagai lagi ruang kerjasama lain,” ujarnya.
Sebelum itu, MoU antara kedua-dua universiti tersebut telah ditandatangani Razli sebagai mewakili UMK manakala Dekan Fakulti Pertanian, Universiti Kyushu, Profesor Dr Miki Nakao (mewakili Universiti dari Jepun itu).
Kerjasama perjanjian yang berlangsung di Bandar Fukuoka, Jepun turut disaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMK, Profesor Ts Dr Arham Abdullah dan Pengarah Pejabat Antarabangsa, Universiti Kyushu, Profesor Dr Igura Noriyuki.
Sementara itu, Arham berkata, Universiti Kyushu adalah antara universiti yang direkodkan berada pada kedudukan teratas ranking antara universiti terbaik di Jepun.
Katanya, Universiti Kyushu mempunyai reputasi yang amat baik di dunia sekali gus memberi kelebihan kepada penyelidik UMK dan akses kepada fasiliti, infrastruktur serta teknologi di kampus berkenaan.
Sambung Arham lagi, selain memperoleh ilmu berkaitan Universiti Kyushu, pihaknya juga mengambil peluang dengan mengadakan seminar pendek kepada mereka.
“Seminar berkaitan UMK dan industri perhutanan serta kayu di Malaysia telah dikongsi dengan profesor, penyelidik dan penuntut di sana.
“Turut hadir dalam seminar itu juga adalah Timbalan Dekan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, UMK, Profesor Madya Dr Sarizam Mamat dan Dr Andi Hermawan. Kedua-duanya merupakan antara penyelidik yang banyak terlibat dengan kerjasama antara penyelidik di Universiti Kyushu terutamanya dalam bidang sains dan teknologi kayu,” tuturnya.
Skim geran padanan dan dana
Dalam pada itu, Sarizam berkata, satu perbincangan untuk bekerjasama dengan Universiti Osaka (juga dari Jepun) telah diadakan bagi penerokaan kerjasama baharu dalam bidang additive manufacturing.
Perbincangan tersebut dihadiri oleh Timbalan Presiden Universiti Osaka, Profesor Dr Manabu Tanaka, Profesor Dr Katsuyoshi Kondoh dan Arham baru-baru ini.
Ujar Sarizam, kerjasama ini lebih menjurus kepada pembiayaan penyelidikan melalui geran padanan dan pengenalan beberapa dana yang disediakan Universiti Osaka.
“Skim geran padanan dan dana yang ditawarkan ini boleh dimanfaatkan oleh penyelidik UMK bagi membiayai penyelidikan di kampus ini dan Joining and Welding Research Institute (JWRI), Universiti Osaka.
“Ini adalah hasil daripada kolaborasi dan aktiviti penyelidikan sejak 2012 lagi di mana satu Memorandum Kerjasama (MoA) telah ditandatangani antara UMK dan JWRI pada Disember 2019.
“MoA ini merupakan kesinambungan kepada aktiviti kerjasama penyelidikan sebelum ini dan diharap dapat menjadi titik tolak kepada ruang kerjasama yang lebih luas melibatkan lebih ramai penyelidik dari UMK kelak,” katanya.