UPM bikin animasi Skuad Rimba didik kanak-kanak pelihara alam
Animasi merupakan medium yang sangat dekat dengan jiwa kanak-kanak malah pelbagai ilmu bermanfaat dapat diperoleh golongan terbabit melalui komunikasi visual.
Menyedari keberkesanan medium berkenaan, Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melancarkan animasi Skuad Rimba yang mengetengahkan isu kelestarian hutan dan alam sekitar.
Pengasas Skuad Rimba, Dr Norfaryanti Kamarudin berkata, siri animasi Edutainment itu memaparkan kandungan yang menyentuh mengenai pemeliharaan alam sekitar.
Dia memberitahu, garapan jalan cerita animasi tiga dimensi (3D) itu juga berkisar tentang mendidik kanak-kanak agar sentiasa memelihara alam sekitar dan ekosistem untuk masa depan.
“Dalam animasi ini, ia menampilkan lima watak kanak-kanak yang memiliki kuasa luar biasa dengan pelbagai unsur alam. Ia termasuk kuasa tumbuhan, haiwan, tanah, api, air dan angin.
“Selain itu, kelima-lima tunjang utama tersebut akan bergandingan bersama watak adiwira dikenali sebagai PUTRA Rimba dalam memperjuangkan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Tuturnya, produk animasi tersebut sedang mencari pelabur untuk menembusi pasaran media arus perdana seperti di stesen penyiaran dan platform media sosial.
Selain itu, Norfaryanti memberitahu, Skuad Rimba turut dibangunkan oleh pengasas bersama Dr Syeed Saifulazry Osman Al-Edrus dan Dr Lee Seng Hua; Riana Liau Kang Ya serta dibantu pelajar Kolej Komuniti Besut, Terengganu.
“Skuad Rimba diterbitkan oleh MyRimba Sdn Bhd yang merupakan syarikat pemula di bawah program Innohub UPM bertujuan menghasilkan animasi dan menyediakan kursus latihan.
“Syarikat yang ditubuhkan pada Mei 2021 ini bertujuan memupuk kesedaran dan mendidik masyarakat berkenaan kelestarian hutan serta alam sekitar,” ujarnya.