Program Kesedaran Mikroplastik mengesyorkan konsep kitar semula sebagai kaedah mengurangkan mikroplastik.
Program Kesedaran Mikroplastik mengesyorkan konsep kitar semula sebagai kaedah mengurangkan mikroplastik.

UPM dedah bahaya pencemaran mikroplastik

MOHD ANAS BAHARUDIN
04 Jun 2024 04:45pm
A
A
A

Menyedari risiko bahaya pencemaran mikroplastik kepada kesihatan manusia, sekumpulan pelajar dan pensyarah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) turun membuat pendedahan awal di sekolah.

Jabatan Kimia, Fakulti Sains UPM telah menganjurkan program kesedaran berkaitan penggunaan bahan plastik dan isu mikroplastik di Sekolah Rendah Agama Integrasi Bandar Baru Bangi (SRAIBBB), baru-baru ini.

Penasihat program, Profesor Madya Dr Yusran Sulaiman berkata, aktiviti ini mendedahkan guru dan murid tentang pencemaran mikroplastik yang menjadi masalah di serata dunia sekali gus mengancam kesihatan manusia.

“Penggunaan plastik yang berterusan tanpa kawalan memberi kesan kepada seluruh kehidupan di muka bumi, termasuk kepada kesihatan kita sendiri,” ujar beliau.

Yusran menyatakan lagi program ini selari dengan kepentingan menjaga ekosistem marin seperti sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-14 dan Kualiti Pendidikan, SDG keempat.

Di samping penerangan mengenai mikroplastik dan konsep kitar semula, aktiviti bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) juga diadakan secara interaktif dan seronok bagi menarik minat murid yang hadir semasa program tersebut.

“Antara aktiviti yang menarik minat murid sekolah ialah mewarna, roda mikroplastik, pancing ikan, pemburuan mikroplastik dan kuiz mengenai mikroplastik,” tambah beliau.

Selain itu, penganjuran program tersebut dapat mengasah daya kepimpinan dan kerjasama sesama mahasiswa Fakulti Sains UPM dan mengembangkan pelbagai kemahiran insaniah lain seperti komunikasi, pengurusan masa, kemahiran penyelesaian masalah dan pemikiran kritis.

Artikel Berkaitan:

Program ini turut menjunjung pelan strategik UPM antaranya melahirkan watak graduan yang serba boleh dan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang dan melestarikan ekosistem jaringan industri dan masyarakat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok