Pelbagai maklumat dikongsi wakil UPM kepada penternak di FELDA Pasir Raja.
Pelbagai maklumat dikongsi wakil UPM kepada penternak di FELDA Pasir Raja.

UPM kongsi ilmu kawalan cacing hati pada penternak

23 Apr 2024 05:17pm
A
A
A

Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) menganjurkan program Pengawalan Cacing Hati yang Efektif pada Lembu bersama Penternak di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Pasir Raja, Kulai,Johor, baru-baru ini.

Ketua program, Dr Nur Mahiza Md Isa berkata, program bertujuan membudayakan amalan rawatan dan mencegah penyakit cacing hati yang berkesan terhadap haiwan ternakan di ladang.

“Penyakit cacing hati boleh menjangkiti haiwan dan manusia. Namun demikian, tidak ramai yang mengetahui yang ia adalah sejenis penyakit zoonotik.

“Haiwan seperti lembu dan kerbau yang dijangkiti penyakit tersebut boleh menyebabkan kematian dan pengurangan produksi susu serta berat badan haiwan.

“Manakala manusia yang terkena jangkitan penyakit ini boleh menyebabkan simptom berkaitan dengan organ hati bagi kes kronik,” ujarnya.

Pengawalan Cacing Hati yang Efektif pada Lembu bersama Penternak merupakan salah satu program di bawah geran Knowledge Transfer Grant Scheme (KTGS) Jalinan Industri dan Masyarakat (JIMN), UPM.

Ia disertai empat pensyarah iaitu Profesor Madya Dr Lokman Hakim Idris, Profesor Madya Dr Nor Yasmin Abdul Rahaman, Dr Fazila Saulol Hamid dan Dr Norfitriah Mohamed Suhaimi yang bertindak sebagai pembimbing peserta sepanjang program berlangsung.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seramai lima penternak telah menyertai dan mereka didedahkan dengan ilmu diagnosis, rawatan dan pencegahan mengikut persekitaran di ladang masing-masing.

Mereka juga melakukan amalan pencegahan melalui pengujian sampel berkala di makmal veterinar termasuklah menggunakan ubat rawatan yang betul.

Dalam pada itu, Nur Mahiza berkata, hanya beberapa ubat flukisid di pasaran yang dapat membunuh cacing hati dengan berkesan termasuk triklabendazol, klosantel dan nitroxinil.

“Ubat triklabendazol boleh membunuh cacing hati yang juvenil dan matang.

“Manakala klosantel dan nitroxinil hanya mampu membunuh peringkat cacing matang.

“Oleh yang demikian, penggunaan atau pengurusan ubat yang betul adalah penting untuk penternak fahami bagi mengelakkan kejadian fenomena seperti ketahanan antelmintik,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok