Md Amin (tengah) mengaminkan doa sejurus tamat sesi Taklimat Insiden Bas di Gerik yang diadakan secara dalam talian pada Isnin.
Md Amin (tengah) mengaminkan doa sejurus tamat sesi Taklimat Insiden Bas di Gerik yang diadakan secara dalam talian pada Isnin.

UPSI jamin pelajar mangsa nahas tidak tangguh pengajian

16 Jun 2025 10:34pm

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberi jaminan bahawa kebajikan pelajar yang tercedera dalam insiden nahas tragis bas di Gerik baru-baru ini, akan diutamakan termasuk memastikan mereka tidak perlu menangguhkan pengajian.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pihak universiti telah menggerakkan pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban pelajar yang terkesan termasuk urusan akademik, peperiksaan dan sokongan moral.

Menurutnya, semua fakulti diminta mengambil tindakan segera agar tiada pelajar yang perlu menangguh semester akibat kecederaan yang dialami.

"Saya mohon ambil tindakan-tindakan ini termasuk dekan-dekan, pensyarah-pensyarah yang ada. Mereka masih belajar tetapi tercedera, sama ada di hospital atau di rumah, mohon diuruskan dengan baik urusan peperiksaan, tugasan, akademik dan sebagainya agar seboleh-bolehnya tiada yang perlu menangguh semester.

“Mereka ber"da dalam kesukaran, kesakitan. Kita ada banyak sistem pembelajaran yang fleksibel. Pastikan agar mereka tidak tertinggal. Ini pesanan Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) sendiri kepada saya. Ini juga titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah). Bantulah, buatlah, tolonglah anak-anak ini," katanya menerusi Taklimat Insiden Bas di Gerik yang diadakan secara dalam talian pada Isnin.

Md Amin turut menggesa agar semua petugas dan sukarelawan turut dibantu bagi membolehkan mereka memberikan bantuan terbaik kepada mangsa dan keluarga yang terlibat.

Beliau turut mengingatkan tentang pentingnya sokongan mental bukan sahaja kepada mangsa, malah juga kepada petugas yang telah berada di lapangan sejak seminggu lalu.

"Kebajikan staf dan juga anak-anak pelajar yang berada di hospital bagi membantu memberikan sokongan moral, kaunseling dan sebagainya, anak-anak ini juga harus diberikan perhatian, bantuan dan sokongan agar jangan nanti ada anak-anak ini yang gagal.

Artikel Berkaitan:

"Mereka akan berkata, sia-sialah kita berbuat baik di dunia ini kerana semuanya yang dikira adalah akademik semata-mata. Tidak, di UPSI, adab dan akhlak adalah keutamaan," katanya lagi.

Beliau berkata, perhatian juga perlu diberikan terhadap kesan psikologi kepada rakan-rakan mangsa yang masih berada di kampus berikutan kehilangan sahabat mereka.

"Bayangkan ketika mereka membuat pembentangan, daripada lima nama hanya tinggal tiga. Dalam bilik kolej, daripada empat sahabat tinggal dua menatap katil kosong.

"Ini bukan sekadar akademik, ini tentang kemanusiaan," katanya lagi dalam nada sebak.

Beliau mengakhiri taklimat dengan menyeru seluruh warga UPSI untuk menjadikan bantuan kepada mangsa sebagai satu ibadah dan amal jariah serta merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat yang prihatin.

Dalam kejadian pada 9 Jun lalu kira-kira jam 1 pagi itu, 15 pelajar disahkan maut manakala 27 lagi cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik serta Hospital Baling, Kedah.

Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya yang berusia 54 tahun.

Nahas dipercayai berlaku apabila bas terbabit melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan lalu terbalik dan merempuh pembahagi jalan.

WARTAWAN: SAIFULLAH AHMAD

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp