Abdul Rahim
Abdul Rahim

UPSI lantik Timbalan Naib Canselor baharu

ROSHLAWATY MD RAIEH
05 Dec 2023 03:51pm
A
A
A

Pengarah Akademik di Jabatan Hal Ehwal Akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Abdul Rahim Razalli, 57, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang baharu berkuat kuasa 1 Disember sehingga 1 Januari 2026.

Abdul Rahim menerima surat lantikan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Noordin menggantikan Profesor Dr Marzita Puteh yang telah tiga tahun memegang jawatan itu sejak 1 Disember 2020.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menyambut baik pelantikan itu dan berharap Abdul Rahim membantu melonjakkan kecemerlangan universiti khasnya dalam aspek pembangunan akademik serta pengantarabangsaan.

Md Amin juga berharap Abdul Rahim berupaya menyumbang idea-idea baharu sebagai nilai tambah kepada universiti dalam mencapai visi dan misi institusi pendidikan terpenting di negara ini sekali gus tersebar luas di peringkat nusantara serta antarabangsa.

Sementara itu, Marzita melahirkan rasa terharu kepada seluruh warga UPSI kerana memberi kerjasama yang baik sepanjang dirinya melaksanakan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

“Saya berbangga dapat mencurahkan bakti kepada sebuah universiti pendidikan yang memiliki perjalanan sejarah panjang, apa lagi memiliki jiwa guru yang tinggi dalam mendidik dan melahirkan ribuan pendidik di UPSI,” kata Marzita yang pakar dalam bidang Pendidikan Matematik di bawah Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok