USIM edar 1,700 pek bubur lambuk, imarah bulan Ramadan

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
11 Apr 2023 04:50pm

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengimarahkan bulan Ramadan dengan pengedaran sebanyak 1,700 pek bubur lambuk kepada warga USIM dan komuniti setempat sekitar Nilai, Negeri Sembilan.

Pengarah Pusat Sukan USIM, Ekmal Buhary berkata, tradisi memasak bubur lambuk secara gotong-royong itu bermula sejak 2013 lagi untuk mendekatkan warga universiti dan mahasiswa pada bulan Ramadan.

"Pada mulanya, program berkenaan dilakukan secara kecil-kecilan sahaja malah lebih membanggakan kini semakin mendapat sambutan sehingga mencecah empat periuk besar.

"Seramai 100 sukarelawan memulakan tugasan termasuk proses penyediaan bahan-bahan sehingga memasak dan membungkus.

"Kita berjaya memasak tiga periuk bubur lambuk ayam manakala satu lagi periuk adalah bubur lambuk daging. Selain itu, kita juga memasak bubur pulut hitam untuk diedarkan kepada orang ramai," katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.

Program Gotong Royong dan Edaran Bubur Lambuk Komuniti USIM 2023 yang memasuki tahun ke-10 tersebut mendapat kerjasama daripada Urusetia Sukan Rekreasi Pelajar USIM dan Pusat Tanggungjawab USIM.

Selain itu, beberapa badan korporat tidak ketinggalan menyertainya seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM, Koperasi Kakitangan USIM, KRT Surau Ar Raudah Desa Jati, Yakult, Extrajoss dan Nuaim Corporation.

Ekmal memberitahu, program berkenaan tidak melupakan golongan barisan hadapan kerana turut diagihkan di Balai Bomba dan Balai Polis cawangan Nilai.

Artikel Berkaitan:

Tuturnya lagi, proses pengedaran bubur lambuk bermula seawal pukul 3 petang berdekatan surau Desa Cempaka Nilai manakala ia berlanjutan sehingga 5.30 petang di Balai Bomba Nilai.

"Saya berharap program ini dapat diteruskan pada tahun akan datang kerana dapat menyemarakkan semangat gotong-royong dalam kalangan mahasiswa-mahasiswa.

"Ia juga dapat mendekatkan mereka dengan komuniti setempat terutama dalam bulan cukup mulia bagi umat Islam," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp