UTeM berada pada kedudukan 1,200 hingga 1,400 dalam penarafan QS World University Rankings 2024.
UTeM berada pada kedudukan 1,200 hingga 1,400 dalam penarafan QS World University Rankings 2024.

UTeM dan USIM diiktiraf universiti terbaik dunia menerusi QS World University Rankings 2024

ROSHLAWATY MD RAIEH
10 Jul 2023 10:42pm
A
A
A

Buat julung kalinya, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tersenarai sebagai salah sebuah universiti terbaik dunia dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2024 baru-baru ini.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin, berita bersejarah itu telah diumumkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan QS yang mana meletakkan UTeM pada kedudukan 1,200 hingga 1,400 daripada 2,693 institusi yang dinilai.

Jelas beliau, pencapaian itu menunjukkan komitmen UTeM yang tidak berbelah bahagi dalam kecemerlangan akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan, pembangunan penuntut dan inovasi yang memberi kesan langsung buat semua.

“Pencapaian julung kali ini dicapai menerusi inisiatif UTeM di peringkat global melalui kerjasama akademik, kolaborasi penyelidikan dan pelbagai bentuk kerjasama sama ada dengan institut pendidikan tinggi (IPT) yang lain mahupun dengan industri dan organisasi antarabangsa.

“UTeM beriltizam untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama ke beberapa negara lain termasuklah Turkiye, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Korea Selatan dan China serta bakal diperluas ke negara-negara Balkan juga.

“Kami amat teruja dengan pencapaian membanggakan ini yang terhasil daripada dedikasi dan kerja keras semua lapisan warga universiti dari peringkat Lembaga Pengarah Universiti, pihak pengurusan tertinggi dan kanan; warga kerja hingga ke para penuntut,” ujarnya lagi.

Berkongsi perjalanan menggapai kejayaan tersebut, Massila berkata, UTeM mula mengemukakan data bagi penilaian penarafan QS dan telah tersenarai pertama kali dalam penarafan QS Asia University Rankings 2020.

Kemudian, kemuncak pencapaian tersebut apabila berjaya disenaraikan dalam penarafan tertinggi iaitu QS World University Rankings 2024 dalam tempoh lima tahun dari penarafan peringkat Asia.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, elemen-elemen baharu yang diperkenalkan oleh QS World University Rankings seperti kelestarian dan kebolehpasaran graduan akan terus ditekankan UTeM melalui beberapa inisiatif khusus yang telah dirancang rapi di bawah Pelan Strategik UTeM 2023-2025: Menjajar Universiti, Melonjak Ke Hadapan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, UTeM akan memperkukuh peranannya sebagai universiti teknikal yang mengangkat agenda pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada semua peringkat.

“Usaha berterusan akan digandakan bagi meningkatkan lagi kedudukan UTeM dalam penarafan QS World University Rankings akan datang,” tuturnya.

Sementara itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut tersenarai dalam kedudukan keseluruhan 1,201 hingga 1,400 dalam QS World University Rankings 2024.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani dalam kenyataan berkata, penarafan tersebut membuktikan USIM antara universiti terbaik dunia yang mengangkat dan memartabatkan institusi ilmu Naqli dan Aqli bagi konteks membangunkan keilmuan, kesarjanaan dan kemahiran dalam pelbagai bidang.

Antaranya bidang halal, kewangan dan perbankan Islam serta dakwah Orang Kurang Upaya (OKU) setanding dengan universiti terkemuka lain di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, pencapaian membanggakan itu adalah atas usaha dan semangat berpasukan warga USIM kepada pihak berkepentingan bagi mencapai aspirasi sebagai universiti rujukan global pada 2025.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok