UTeM 106 terbaik dunia, lima terbaik negara.
UTeM 106 terbaik dunia, lima terbaik negara.

UTeM di ranking 106 terbaik dunia

ROSHLAWATY MD RAIEH
15 Dec 2023 09:15am
A
A
A

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus melakar kecemerlangan di pentas dunia apabila mencapai kedudukan 106 terbaik dunia dalam UI GreenMetric (UIGM) World University Ranking.

Ia bagi penarafan kampus paling hijau dan paling menyerlah kelestarian alam sekitar.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, apa yang diraih kampus itu merupakan kejayaan berprestij dan berganda serta bukan hanya pada ukuran kedudukan tetapi juga aspek kemampuan universitu melonjak kedudukan.

“UTeM mula menyertai UIGM pada tahun 2016 dan berada di kedudukan ke-269 daripada 516 universiti yang dinilai.

“Dalam tempoh tujuh tahun, UTeM terus cemerlang mencapai kedudukan terkini pada tangga ke-106 daripada 1,183 universiti yang dinilai.

“Menariknya, pencapaian ini turut melonjakkan kedudukan UTeM pada kedudukan lima terbaik universiti paling lestari dan hijau di Malaysia,” ujarnya.

Massila
Massila

UIGM merupakan satu sistem penilaian kendiri dan sebagai pembuktian iltizam universiti melestarikan alam sekitar yang disertai institut pengajian tinggi (IPT) seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Penilaian dalam UIGM seiring dengan pemetaan 17 matlamat dalam Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDGs) bagi menilai aspek kemampanan atau kelestarian universiti.

Penilaian UIGM berdasarkan 51 petunjuk dalam enam kriteria UI GreenMetric World University Rankings iaitu tetapan dan infrastruktur (SI); tenaga dan perubahan iklim (EC); sisa dan kitar semula (WS); air (WR); pengangkutan (TR) dan pendidikan (ED).

Mengupas strategi lonjakan UTeM bagi pencapaian kedudukan tahun ini, Massila berkata, universiti telah melaksanakan beberapa pelan pembangunan program pemuliharaan kehijauan UTeM dalam memberi nilai tambah kepada kriteria SI.

“Universiti turut menggubal beberapa dasar dan peraturan berkaitan dengan pengurusan sisa dan air yang lebih sistematik di samping melaksanakan program yang menyokong dan bertepatan kriteria EC, misalnya pemasangan solar di UTeM.

“Pada masa sama, UTeM turut mengadakan lawatan ukur takat perbandingan ke beberapa buah universiti yang mempunyai amalan terbaik dalam UIGM,” jelasnya.

Akhir sekali, Massila memberitahu, kejayaan dirangkul tentunya memberi impak langsung kepada universiti dalam perspektif keterlihatan di pentas global bagi pembudayaan amalan hijau.

“Penjajaran UIGM dengan 17 SDGs menunjukkan aktiviti dan program dirangka dan dilaksana UTeM seiring dengan keperluan dalam agenda kemampanan negara dan dunia,” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok