12 pensyarah telah diraikan dalam Majlis Penganugerahan Sijil Kompetensi di FTMK, UTeM baru-baru ini.
12 pensyarah telah diraikan dalam Majlis Penganugerahan Sijil Kompetensi di FTMK, UTeM baru-baru ini.

UTeM kongsi kepakaran Fiber Optik kepada 12 pensyarah politeknik dan kolej komuniti

ROSHLAWATY MD RAIEH
07 Mar 2023 03:21pm
A
A
A

Kepakaran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam pelbagai bidang memang diakui ramai.

Ia tidak dapat disangkal apabila terbaharu, UTeM telah berkongsi kemahiran dan kepakarannya dalam bidang Fiber Optik kepada 12 pensyarah terpilih dari politeknik dan kolej komuniti seluruh negara menerusi Program Pentauliahan Profesional Fiber Optik.

Menerusi program tersebut, peserta telah menimba pelbagai ilmu dan pengalaman sekali gus lulus dengan cemerlang dalam aktiviti diadakan.

Kejayaan cemerlang 12 pensyarah itu telah diraikan dalam Majlis Penganugerahan Sijil Kompetensi di Dewan Seminar, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), UTeM.

Mereka menerima sijil kecemerlangan daripada Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Ir Dr Ghazali Omar dan Dekan FTMK, Profesor Madya Ts Dr Mohd Sanusi Azmi.

Sementara itu, Pengarah Program Pentauliahan Profesional Fiber Optik, Ts Dr Norhayati Harun berkata, perkongsian kepakaran dan pengajaran dalam kursus selama tiga bulan tersebut dikendalikan sepenuhnya 10 tenaga pakar yang merupakan kumpulan pensyarah profesional dari FTMK, UTeM.

Antara tenaga pakar yang terlibat ialah Ts Erman Hamid, Ts Dr Mohd Rizuan Baharon, Dr Zurina Sa’aya dan Dr Othman Mohd.

Menurut Norhayati lagi, program mengkhususkan kepada pemantapan kemahiran dan pensijilan profesional Fiber Optik termasuk Certified Fiber Optic Technologist (CFOT); Certified Fiber Optics Specialist/Design (CFOS/D) dan Certified Fiber Optics Specialist/Testing (CFOS/T).

Artikel Berkaitan:

“Ia juga merangkumi Certified Fiber to the Home Specialist (CFOS/H); Certified Fiber Optic Specialist Fiber for Wireless (CFOS/W); Kecekapan Fiber Optik - CA1C; Kecekapan Fiber Optik - CA2C serta National Institute for Occupational Safety and Health Certification (NIOSH),” jelasnya dengan menambah Program Pentauliahan Profesional Fiber Optik turut dijayakan bersama dengan rakan industri iaitu Significant Technologies Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM selaku Universiti Teknikal Awam berprestij dalam negara terus menzahirkan peranan berkongsi kepakaran dalam usaha pemerkasaan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Jelasnya, peranan signifikan yang dimainkan UTeM ini menjadi sebahagian daripada elemen utama dalam melahirkan tenaga pengajar yang terlatih dan profesional kepada politeknik dan kolej komuniti dalam negara.

“Impak daripada program sebegini tentunya seiring dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memastikan tenaga pengajar terus kompeten dan diiktiraf oleh segenap sektor industri dan majikan global.

“Selain itu, program turut memacu kedinamikan institut pengajian tinggi awam (IPTA) dalam penjanaan graduan TVET yang mampan dan menjadi buruan dunia,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok