UTM perkenalkan Premium Employment, sasar kebolehpasaran graduan 100 peratus

AZLEENDA SAHALUDIN
05 May 2023 11:52am
A
A
A

Isu kebolehpasaran graduan sering menjadi topik perbualan hangat dan dibincangkan dalam landskap pendidikan tinggi negara susulan masalah pengangguran siswazah, ketidakpadanan bidang kelulusan dengan permintaan industri serta sikap beberapa lulusan universiti yang terlalu memilih pekerjaan.

Melihat kepada keadaan itu, bagi memastikan setiap graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempunyai kebolehpasaran tinggi, universiti berkenaan telah memperkenalkan inisiatif Premium Employment.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, UTM adalah satu-satunya universiti awam yang memulakan strategi bagi memastikan setiap graduannya bukan sahaja diterima bekerja selepas menamatkan pengajian tetapi turut mendapat gaji premium iaitu melebihi RM4,000 sebulan.

“Dalam usaha menjayakan perancangan tersebut, UTM mengambil pendekatan dengan menjalin kerjasama dengan pemain industri premium serta melakukan pelbagai kolaborasi termasuklah penyelidikan bersama, pengajaran di dalam kelas serta beberapa aktiviti lain.

“Ia bertujuan untuk membuka laluan kepada pemain industri mengenali bakat-bakat graduan universiti ini selain dapat menawarkan mereka peluang pekerjaan.

“Malah rekod kebolehpasaran graduan UTM bagi 2021 juga sebanyak 97.9 peratus dengan graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh beberapa bulan selepas menamatkan pengajian,” ujarnya.

Menurut Ahmad Fauzi, status universiti berkenaan sebagai universiti penyelidikan telah menjadikan graduannya laris serta menepati permintaan industri ketika ini terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik serta pelbagai cabang kejuruteraan.

“Tidak dinafikan kelayakan akademik merupakan ‘filter’ utama bagi industri memilih pekerja, namun kemahiran berkomunikasi, kepimpinan, adaptasi serta personaliti yang baik akan turut dinilai.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, UTM mewajibkan semua penuntutnya mengikuti program tambahan di luar kurikulum yang dikenali sebagai Sijil Kemahiran Profesional UTM sebagai syarat wajib lulus sebelum graduan menamatkan pengajian masing-masing,” tambahnya lagi.

Jelas beliau, dengan adanya program tambahan itu ia akan meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi dalam kalangan graduan selain turut menyarankan supaya golongan siswazah tidak terlalu memilih pekerjaan menyebabkan masih terdapat pengangguran.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok