Mohd Foad menyampaikan sijil kepada peserta.
Mohd Foad menyampaikan sijil kepada peserta.

UUM Festival OKU perkasakan golongan kurang upaya

02 Sep 2024 05:01pm

UUM Festival OKU (UFO) adalah cerminan dedikasi universiti dalam menyokong agenda inklusiviti dan kepelbagaian dalam pendidikan.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, UUM merupakan sebuah universiti yang komited memperkasakan orang kurang upaya (OKU), dengan terus menyediakan kemudahan dan program mesra OKU.

“Saya percaya pendidikan adalah hak setiap individu, dan pihak UUM akan terus berusaha untuk memastikan kampus ini menjadi ruang yang inklusif serta menyokong pembelajaran untuk semua.

“Kita telah membina platform yang kukuh untuk memperjuangkan hak dan peluang bagi OKU,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan UFO, di Independent Living Centre (ILC) Permai, UUM.

Jelasnya, program itu bertujuan untuk meraikan bakat dan potensi komuniti OKU, sambil meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mewujudkan persekitaran yang mesra OKU, baik di kampus mahupun di luar.

“Sepanjang festival ini, kita telah menyaksikan pelbagai acara yang memberi inspirasi, seperti Kursus Pemantapan Kewangan Audit Kewangan ILC Malaysia, Kem Agoonoree Peringkat Negeri Kedah, serta pameran dari agensi kerajaan.

“Antaranya, JKM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Special Olympics Kedah, pameran produk OKU Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), dan gerai jualan peniaga OKU,” ujar beliau.

Mohd Foad melawat gerai yang dipamerkan.
Mohd Foad melawat gerai yang dipamerkan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, aktiviti ini menonjolkan kehebatan komuniti OKU, serta membuktikan bahawa dengan sokongan dan peluang yang tepat, mereka mampu mencapai kejayaan.

“Saya mewakili seluruh warga UUM ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menjayakan festival ini, khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), para penaja, dan semua peserta serta sukarelawan,” katanya lagi.

Mohd Foad (dua dari kanan) melepaskan burung sebagai simbol kebebasan Komuniti OKU dan terbang tinggi menggapai apa yang diinginkan.
Mohd Foad (dua dari kanan) melepaskan burung sebagai simbol kebebasan Komuniti OKU dan terbang tinggi menggapai apa yang diinginkan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Zuhami Omar, berkata, menerusi festival ini, pelbagai program yang memfokuskan golongan sasaran OKU antaranya Kursus Pemantapan Pengurusan Audit Kewangan ILC Malaysia.

“Festival ini bukan sahaja menjadi platform bagi mengiktiraf bakat dan keupayaan rakan-rakan OKU, malah sebagai satu usaha signifikan dalam memupuk kesedaran dan pemahaman lebih mendalam mengenai kepentingan inklusiviti dalam masyarakat.

“Sebagai wakil Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya, saya ingin menyatakan komitmen berterusan kami dalam menyokong program-program yang mempromosikan hak dan kesejahteraan individu OKU,” ujarnya.

Pengurus ILC Permai UUM, Meor Muhammad Afif Aiman Abu Bakar berkata, program yang pertama kali dianjurkan ini melibatkan semua komuniti OKU merentasi kementerian berbeza serta mengumpulkan enam ILC dari seluruh Malaysia berkursus di ILC Permai UUM.

Sarat dengan aktiviti yang penuh makna, seramai 240 Pelajar OKU Pendidikan Khas seluruh Negeri Kedah menghadiri Kem Agoonoree Peringkat Negeri Kedah.

Program seumpama ini dapat menarik minat komuniti OKU untuk bergaul bersama masyarakat dan merasai diri dirai di samping mempromosi UUM dengan menarik minat OKU untuk belajar sehingga menara gading.

Mohd Foad (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Meor Muhammad Afif Aiman (kiri).
Mohd Foad (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Meor Muhammad Afif Aiman (kiri).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp