Mohd Foad merasmikan Majlis Perasmian Program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses” (KOMPaS) di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen, UUM.
Mohd Foad merasmikan Majlis Perasmian Program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses” (KOMPaS) di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen, UUM.

UUM lancar tiga produk atasi keciciran murid

11 Sep 2024 10:00am
A
A
A

Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPaS) memperkenalkan tiga produk mampu mengatasi masalah keciciran murid.

KOMPaS, hasil penyelidikan teliti selama tiga tahun itu merupakan program berimpak tinggi yang mana objektif utama untuk mengurangkan risiko murid tercicir dan membantu pelajar menamatkan pendidikan peringkat menengah dengan mendapatkan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Projek pertama pasukan kerja KOMPaS telah berjaya menghasilkan polisi eSEDAR bagi membantu pihak kerajaan negeri dan agensi terlibat dalam membentuk usaha ke arah memperkasa agenda pendidikan di Kedah serta Malaysia secara keseluruhan.

Projek kedua diketuai oleh Profesor Dr Norhafezah Yusof dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, berjaya menghasilkan modul i-MOVE iaitu Modul Intervensi Komunikasi Berkesan direka untuk meningkatkan kehadiran murid ke sekolah dengan pendekatan strategi komunikasi yang relevan.

Modul ini bersifat interaktif dan fleksibel serta mampu menarik minat pelajar untuk hadir ke sekolah berdasarkan maklumbalas dari guru bimbingan kaunseling serta murid yang bersama penyelidik program KOMPaS.

Manakala, projek ketiga berteraskan pengkomputeran, diketuai oleh Profesor Madya Noraziah Che Pa dari Pusat Pengajian Pengkomputeran telah membangunkan aplikasi MyBuddy, satu perisian menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) sebagai kaedah analisis corak untuk mengenal pasti pelajar berisiko cicir dan memberikan sokongan intervensi yang sesuai.

Dengan memanfaatkan teknologi AI, MyBuddy bukan sahaja meramalkan kemungkinan tahap keciciran tetapi juga menyediakan maklumat secara langsung kepada pihak berwajib tentang murid berisiko cicir menggunakan penanda aras yang telah dikenalpasti.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, tiga produk baharu itu dapat membantu pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta kerajaan negeri dalam menangani masalah tersebut.

“KOMPaS ialah satu usaha penyelidikan yang dilaksanakan oleh UUM dengan kerjasama rakan strategik iaitu Yayasan Sime Darby (YSD), Kerajaan Negeri Kedah dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dalam mengangkat agenda akademia untuk pembangunan komuniti.

“Aktiviti dianjurkan telah terbukti dapat memupuk semangat dan keazaman diri murid-murid yang diuruskan oleh sekumpulan mahasiswa UUM dikenali sebagai Duta KOMPAS memberikan pengalaman serta memberikan nilai empati, ujar beliau.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Sime Darby Dr Hajjah Yatela Zainal Abidin, majlis seumpama ini menjadi penanda aras kepada kejayaan yang dipelopori UUM berdasarkan kajian saintifik.

“Seramai 157 daripada 180 pelajar Tingkatan Lima yang berjaya menduduki peperiksaan SPM merupakan impak terbesar dan kami berharap program ini akan diperluaskan demi membina masa depan lebih gemilang untuk anak-anak kita,” katanya.

Beliau menyifatkan usaha ini merupakan kerjasama strategik untuk meningkatkan akses kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkualiti serta inklusif serta memastikan tiada lagi pelajar ketinggalan dalam pendidikan.

Sementara itu, Ketua Program Penyelidikan KOMPaS Merangkap Ketua Projek 1 KOMPaS UUM, Profesor Dr Rosna Awang Hashim berkata, keciciran murid tidak dapat diselesaikan dengan pelajaran semata-mata tetapi juga melibatkan komunikasi dan teknologi maklumat.

“Mereka perlu diselamatkan daripada terus hilang dari dunia pendidikan untuk mengelakkan kerugian berjuta-juta ringgit pada negara khususnya negeri Kedah.

“Ini kerana peningkatan kadar jenayah, kemiskinan dan ketidakseimbangan membuktikan kegagalan dalam melahirkan modal insan berkualiti justeru tindakan menyelamatkan mereka bukan sekadar pelaburan pendidikan tetapi juga pelaburan masa depan,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok