Hamidah (duduk dua dari kanan) bersama warga sekolah SKSA dan KHSB.
Hamidah (duduk dua dari kanan) bersama warga sekolah SKSA dan KHSB.

250 murid SKSA ceria terima bantuan persekolahan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
02 Mar 2023 10:32am
A
A
A

Riak wajah murid-murid Sekolah Kebangsaan Shah Alam (SKSA), Seksyen 16, Shah Alam, Selangor, jelas terpancar keceriaan apabila menerima sumbangan kelengkapan persekolahan melalui program Back to School Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB).

Program yang berlangsung di Mydin Subang Jaya Hypermarket, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini menyasarkan golongan kurang berkemampuan untuk meringankan beban dalam pembelian kelengkapan persekolahan.

Guru Besar SKSA, Hamidah Shamsudin berkata, seramai 250 murid golongan memerlukan menerima baucar bernilai RM120 seorang untuk membeli kelengkapan persekolahan menjelang sesi 2023/2024.

“Program kali ini agak berbeza kerana ibu bapa diberikan baucar untuk memilih keperluan persekolahan.

“Pada kebiasaannya, pihak penganjur akan membeli barangan terlebih dahulu untuk disampaikan kepada murid-murid.

“Pendekatan pemberian baucar merupakan sesuatu yang baik kerana ibu bapa lebih mengetahui keperluan anak-anak mereka,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Para pelajar merupakan insan paling gembira apabila menerima kelengkapan sekolah baharu.
Para pelajar merupakan insan paling gembira apabila menerima kelengkapan sekolah baharu.

Dia menjelaskan, pemilihan penerima adalah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 melibatkan golongan B40, asnaf dan anak-anak yatim.

Ujarnya lagi, pihak KHSB turut menyediakan bas untuk membeli-belah bagi keluarga yang tidak memiliki kenderaan sendiri untuk memudahkan perjalanan mereka.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KHSB, Rahana Abdullah berkata, SKSA terpilih pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini berikutan ia merupakan sekolah tertua di negeri Selangor.

Hamidah (duduk dua dari kanan) bersama warga sekolah SKSA dan KHSB.
Hamidah (duduk dua dari kanan) bersama warga sekolah SKSA dan KHSB.

“KHSB menyalurkan sumbangan bernilai RM33,000 termasuk pengangkutan bas dan peruntukan untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Program ini diharap dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa terutama golongan memerlukan dalam membeli kelengkapan persekolahan anak-anak mereka,” ujarnya.

Rahana memberitahu, program Back to School merupakan acara tahunan tetapi ia terhenti selama dua tahun berikutan pandemik Covid-19.

Seramai 250 pelajar menerima bantuan persekolahan pada Program Back to School KHSB.
Seramai 250 pelajar menerima bantuan persekolahan pada Program Back to School KHSB.

Katanya, KHSB sangat aktif dalam program-program CSR yang melibatkan pendidikan, alam sekitar dan kesihatan.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Shaharudin Ali berkata, program tersebut dapat memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan merasai kegembiraan apabila sesi persekolahan baharu bermula kelak.

“Kita ingin melihat anak-anak ini gembira dengan kelengkapan persekolahan baharu.

“Saya berharap kerjasama yang terjalin bersama KHSB akan berterusan dalam memberi keceriaan kepada para murid sekolah ini,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok