No Image Caption

40 murid Orang Asli SK Tekir seronok jalani perkhemahan unit beruniform

04 Mar 2025 12:00am

Seramai 62 orang murid Tahun 2 hingga Tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tekir, Negeri Sembilan telah berjaya menyertai Program Perkhemahan Unit Beruniform bermula 10 Januari hingga 12 Januari lalu bertempat di Padang Awam Kampung Tekir.

Program ini adalah anjuran Unit Kokurikulum dan Unit Hal Ehwal Murid SK Tekir dengan kerjasama Parlimen Rasah dan KPJ Healthcare University (KPJU).

Aktiviti yang berlangsung selama tiga hari itu, bertujuan memupuk semangat kerjasama, disiplin dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan murid Orang Asli.

Perkhemahan ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk latihan kemahiran asas, permainan luar dan sesi pembelajaran tentang alam sekitar serta kesihatan diri.

Seramai 15 orang mahasiswa dari KPJU terlibat sebagai sukarelawan merangkap urusetia program yang turut membantu 11 orang guru SK Tekir dalam menjayakan program perkhemahan ini sekali gus memastikan setiap murid mendapat pengalaman yang bermanfaat dan menyeronokkan.

No Image Caption

Penutupan program perkhemahan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin dan turut dihadiri oleh Pemangku Naib Canselor KPJU, Profesor Madya Dr Mohd Izham Mohd Zain; Guru Besar SK Tekir, Dasmah bMamat serta Tok Batin Kampung Tekir Labu, Ramli Taka.

Sementara itu, Kee Chin dalam ucapannya menyatakan bahawa penganjuran program tersebut bertepatan dan sesuai dengan hasrat kerajaan dalam membantu memupuk pembangunan holistik murid-murid Orang Asli di SK Tekir.

Artikel Berkaitan:

“Perkhemahan ini memberikan peluang yang sangat berharga kepada murid-murid Orang Asli untuk mengembangkan kemahiran sosial dan kepimpinan mereka. Dengan aktiviti luar yang menarik, mereka bukan sahaja belajar tentang kerjasama, tetapi juga disiplin diri.

“Perkhemahan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada murid tetapi juga menunjukkan komitmen sekolah dalam membangunkan potensi pelajar, khususnya dalam kalangan masyarakat orang asli di Malaysia," katanya.

No Image Caption

Dasmah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Beliau berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan lagi minat pelajar dalam aktiviti luar di samping membina sahsiah diri mereka.

Seorang peserta mengakui sangat gembira dapat menyertai perkhemahan ini kerana ia memberikannya peluang untuk belajar sambil berseronok bersama rakan-rakan.

"Saya belajar banyak perkara baru terutama dalam aspek penjagaan kesihatan diri dan dapat mengeratkan hubungan dengan kawan-kawan," katanya.

Presiden, Persatuan Pelajar KPJU merangkap pengarah program, Mohamad Syafiq Mohamad Nor berkata, aktiviti seumpama itu bukan sahaja bermanfaat kepada murid Orang Asli, tetapi ia secara tidak langsung memberi pendedahan kepada mahasiswa KPJU yang terlibat sebagai fasilitator program.

"Penglibatan mahasiswa dalam penganjuran program seperti ini dapat mengasah kemahiran insaniah terutama dalam aspek berkomunikasi dan bekerjasama," ujarnya.

Maklumat Penulis

1 - Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Kesihatan, KPJ Healthcare University (KPJU), Profesor Ts Dr.Norhayati Mohd Zain

2 - Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Pengimejan Perubatan KPJU, Muhammad Syamsul bin Mohamed Zuki

3 - Mahasiswa Tahun Satu, Diploma Pembantu Bilik Bedah KPJU, Mohamad Syafiq Mohamad Nor

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp