50 murid SK Melor teruskan tradisi khatam al-Quran
KOTA BHARU - Seramai 50 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Melor meneruskan tradisi khatam al-Quran 30 juzuk di sini pada Selasa.
Guru Besar SK Melor, Safura Abdullah berkata, majlis itu berjalan lancar dan turut menerima sumbangan 50 naskhah al-Quran daripada Kumpulan Karangkraf menerusi Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Menurut Safura, tradisi khatam al-Quran di sekolah itu bermula 15 tahun lalu sejak penubuhan sekolah berkenaan pada 2009.
"Khatam al-Quran dilakukan pada setiap tahun bagi memberi aspirasi dan dorongan kepada murid-murid untuk membaca, mengamal dan memahami al-Quran.
"Mereka akan berlumba-lumba ke arah kebaikan termasuk menghafal surah-surah lazim sekali gus memudahkan untuk mendirikan solat selain membentuk sahsiah dan akhlak terpuji,” katanya pada Selasa.
Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Mohd Khairulazmaiha Md Nor dan Imam Masjid al-Ijabah Buloh Poh, Mohd Yusaini Ab Yamin yang memimpin bacaan khatam Quran.
Pada majlis sama juga disampaikan sijil penghargaan kepada Karangkraf atas sumbangan itu dan penyampaian anugerah kepada tokoh-tokoh murid.
Safura berkata, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada Karangkraf yang menyumbang keseluruhan 250 naskhah al-Quran ke sekolah berkenaan bermula lima tahun lalu.
Beliau memberitahu, sekolah terbabit juga antara sekolah terawal melancarkan Rumah Ngaji yang memberi ruang kepada murid-murid untuk lebih lancar mengaji Quran.
"Murid-murid ini berjaya mempelajari al-Quran melalui guru-guru yang mengajar subjek teras Pendidikan Islam, Kelas al-Quran dan Fardu Ain serta belajar sendiri dengan guru Quran selepas waktu sekolah.
"Selari dengan konsep karamah insaniah yang menekankan pembentukan adab, akhlak dan integriti, murid-murid ini dikukuhkan lagi dengan solat zuhur berjemaah setiap hari sebelum pulang selepas tamat waktu persekolahan,” katanya.
Dalam pada itu, Safura memuji Quran terbitan dari Karangkraf yang disumbangkan sebagai sangat berkualiti dan lasak untuk para murid selain mudah dibaca menggunakan tanda-tanda warna pada huruf atau perkataan.
"Senaskah al-Quran diberikan kepada setiap murid untuk mereka gunakan sama belajar mengaji pada waktu sekolah atau selepas sesi persekolahan.
"Sumbangan secara berterusan amat baik kerana dapat membantu murid-murid yang mungkin tidak berkemampuan untuk membeli al-Quran bermutu tinggi," katanya.