Murid SK Pulau Gaya dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Murid SK Pulau Gaya dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

91 murid SK Pulau Gaya keracunan makanan

23 Jul 2024 02:36pm
A
A
A

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin mengesahkan berlaku kes keracunan makanan melibatkan 91 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya.

Beliau berkata, kejadian itu dikesan sekitar 12 tengah hari apabila guru memaklumkan terdapat murid mengalami muntah-muntah dan simptom lain.

"Maklumat awal yang diperoleh terdapat lebih daripada 20 murid yang terlibat dalam kes keracunan makanan, sebelum siasatan lanjut mendapati terdapat murid lain yang terlibat," katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Raisin berkata, pihak sekolah mengumpul maklumat murid terlibat dan membawa mereka ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) selain ada yang mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) serta Klinik Kesihatan Luyang.

"Pihak sekolah juga memberhentikan pembekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta-merta bagi sesi petang dan menasihatkan ibu bapa atau penjaga agar membawa anak jagaan masing-masing mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran sekiranya terdapat simptom keracunan makanan," katanya.

Menurut Raisin, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menerusi Pegawai Unit Hal Ehwal Murid (HEM) turut bertindak menghubungi pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat awal kes.

Beliau berkata, status kesihatan murid terbabit stabil namun memerlukan pemeriksaan dan dalam pemantauan pihak hospital.

Selain itu, katanya, tiada kes tahap kritikal dan 90 peratus murid dimasukkan ke hospital untuk pemantauan manakala 10 peratus lagi dibenarkan balik ke rumah.

"Pihak PPD Kota Kinabalu telah membuat janji temu dengan pasukan Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk menjalankan siasatan dan mengambil sampel di sekolah pada hari ini," katanya.

Raisin berkata, setakat ini punca keracunan masih dalam siasatan lanjut pihak jabatan kesihatan.

Justeru JPNS memohon semua ibu bapa atau penjaga melaporkan segera jika ada jagaan masing-masing mengalami simptom keracunan makanan selain jabatan itu juga sentiasa memantau perkembangan kes termasuk meninjau operasi rawatan mangsa di HWKKS. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok