'Bila boleh sembuh, saya nak jalani latihan renang semula'
"Bila agaknya boleh sembuh, saya nak jalani latihan renang semula."
Itu luahan murid yang mengalami kecederaan pada telinga dalam (koklea) didakwa akibat ditampar dan ditumbuk guru dalam kejadian Disember lalu.
Murid tersebut mengikuti latihan berenang secara intensif sejak Jun tahun lalu terpaksa melupakan rutinnya buat sementara waktu atas nasihat doktor bagi mengelak risiko lebih besar.
Kecederaan dialami itu mengakibatkan murid tersebut sering mengalami sakit kepala, telinga berdengung dan hilang keseimbangan badan.
"Saya sanggup hadapi apa juga rawatan, asalkan dapat berenang semula. Impian saya nak sumbang pingat emas dan nak wakili negara hingga ke Olimpik," katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Akibat kejadian itu, murid terbabit terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam Majlis Sukan Sekolah Perak (MSSPK) pada April dan di pentas antarabangsa di Bangkok, Thailand Julai ini.
Ibu mangsa, Syahmina Mohd Azim, 39, akui, insiden berlaku menyebabkan anak bongsu daripada dua beradik itu berubah emosi, sentiasa murung dan kesedihan.
Katanya, meskipun tidak lagi dibenarkan mengikuti sesi renang, anaknya tetap meminta dihantar ke pusat latihannya di Club House Bukit Merah semata-mata mahu melihat rakan-rakannya berlatih.
"Ada sekali dia cuba berenang, tetapi bila naik dari kolam keadaannya terhuyung-hayang, ada darah menitik keluar dari hidung, sebab itu kami tak benarkan dia ikuti latihan lagi.
"Fokus keluarga kini adalah untuk bantu pulihkan semula dia. Rawatan susulan, terapi, pemulihan cara kerja (rehab) semua sedang dilakukan.
"Saya dimaklumkan, kecederaan sebegini tiada ubat, ia hanya boleh diredakan sahaja. Doktor pakar yang merawat ada mengatakan, proses penyembuhan mungkin akan mengambil masa antara 4 hingga 5 bulan, namun belum pasti sembuh seperti sedia kala," katanya.
Dia dan suami, Mohd I'zzat Emir Mohd Zaharee menyerahkan sepenuhnya siasatan kes itu kepada polis dan mahu pihak terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.
Sebagai ibu, dia berharap nasib anaknya mendapat pembelaan dan keadilan selain berharap kejadian sama tidak berulang.
Sementara itu, jurulatih renang AS Swimming Academy, Aznil Suhaili Jamaludin, 39, berkata, murid terbabit mempunyai potensi besar sebagai atlet muda renang negara.
Katanya, ketika ini tidak ramai kanak-kanak seusia itu mampu lakukan gaya renang dengan baik dan mencatat rekod di bawah tempoh kebiasaan.
"Sebagai contoh, gaya bebas 50 meter kebiasaannya dilakukan dalam tempoh 49 saat, namun dia boleh catat masa dalam 36 saat sahaja.
"Untuk umur itu, ia satu pencapaian yang amat baik, sayangnya sekarang dia terpaksa melupakan hasrat menyertai acara renang ini," katanya.
Pada Khamis, media melaporkan seorang wanita mendakwa anak lelakinya yang berusia 12 tahun cedera akibat ditampar dan ditumbuk guru sendiri sehingga mengalami gegaran koklea.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff dalam kenyataannya mengesahkan, menerima laporan polis mengenai insiden itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.