Muhammad Adam (kiri) dan Putri Qayreen bersama ibu mereka.
Muhammad Adam (kiri) dan Putri Qayreen bersama ibu mereka.

Dua beradik raih anugerah di pentas robotik China, tahniah!

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
26 Dec 2024 08:00pm

Membanggakan! Itu adalah perkataan yang sesuai buat dua beradik dari Kajang, Selangor ini.

Muhammad Adam Mikhael Azziddin, 11, dan Putri Qayreen Sofea Azziddin, 9, masing-masing mengharumkan nama Malaysia apabila merangkul tempat ke-15 dan ke-18 di Pertandingan Robotik MakeX Peringkat Akhir Global di Shenzhen, China.

Pertandingan yang berlangsung pada 6 hingga 8 Disember baru-baru ini, menyaksikan Muhammad Adam dan Putri Qayreen bersaing dengan lebih 260 peserta dari pelbagai negara.

Kedudukan ke-15 dan 18 yang diraikan ini adalah suatu lonjakan ketara daripada tempat ke-28 yang disandang oleh seorang peserta Malaysia tahun 2023.

Selain Malaysia, peserta lain datang dari, antaranya, China, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, India, Peru, Brazil dan Thailand.

Akademi Robotik JAZRO memaklumkan Sinar Bestari, kedua-dua beradik itu telah bertanding dalam Sesi 2 Kategori Inspire Smart Logistics.

"Dengan kedudukan ini, mereka telah menerima anugerah Skill Master Award yang disampaikan dalam bentuk sijil daripada Jawatankuasa Pertandingan Robotik MakeX," menurutnya pada Khamis.

Difahamkan juga, bagi Kategori Inspire, Muhammad Adam dan Putri Qayreen perlu mengharungi tiga misi menggunakan robot untuk mengangkut kiub ke arah tertentu menggunakan pengawal Bluetooth.

Artikel Berkaitan:

"Tugasan hanya diberitahu pada masa pertandingan. Jadi penting untuk peserta betul-betul bersedia dan ada kemahiran mengawal robot.

"Peserta dinilai mengikut jumlah mata dikumpul dan masa yang diambil untuk menyelesaikan misi," katanya.

Muhammad Adam sewaktu melengkapkan pertarungan dalam MakeX Malaysia di Kuala Lumpur pada September lalu.
Muhammad Adam sewaktu melengkapkan pertarungan dalam MakeX Malaysia di Kuala Lumpur pada September lalu.

Untuk rekod, dua beradik yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kajang itu, mula belajar robotik bila mendaftar dengan JAZRO pada Mei tahun lalu.

Sementara itu, ibu mereka, Siti Paspa Mohamad Sofa meluahkan rasa bangga dengan pencapaian anak-anaknya itu.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian anak-anak dan tidak pernah membayangkan pencapaian sedemikian.

"Apabila mula-mula mendaftarkan mereka dalam kelas JAZRO, kami melihatnya sebagai peluang untuk belajar. Kini, yakin ia laluan ke masa depan yang cerah dalam bidang teknologi yang boleh diterokai," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif JAZRO, Ir Dzulfarqeish Zainuddin pula berkata, pencapaian yang diraih dua beradik itu lebih sekadar kejayaan peribadi.

“Ia mewakili potensi hebat anak muda Malaysia apabila diberi peluang pendidikan yang sewajarnya. Misi kami di JAZRO adalah untuk memupuk minda muda, mengubah rasa ingin tahu kepada inovasi.

"Kedudukan global ini membuktikan bahawa dengan bimbingan dan pendedahan yang betul, anak-anak kita boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

"Pengiktirafan dicapai di Shenzhen ini mencerminkan juga kemajuan usaha Malaysia yang semakin meningkat dalam pendidikan STEM (bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik). Ini mencetuskan semangat kami di JAZRO. Kami mahu terus maju ke hadapan sebagai pemangkin," kata Dzulfarqeish.

Dua beradik comel ini bergambar kenangan bersama mentor mereka, Muhammad Shahrul Naim Muhammad Sapri.
Dua beradik comel ini bergambar kenangan bersama mentor mereka, Muhammad Shahrul Naim Muhammad Sapri.

Sebelum ke Shenzhen, Muhammad Adam sudah menjadi juara MakeX peringkat Malaysia dalam Kategori Inspire dan Putri Qayreen Sofea menang tempat kedua kategori sama, lalu melayakkan mereka bertanding di peringkat akhir global.

Pertandingan robotik seperti MakeX ini menyediakan pelajar pengalaman yang tidak ternilai yang melangkaui kemahiran teknikal, membangunkan pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan pemikiran inovatif.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp