Empat murid SRI Integrasi Puncak Jalil kini di United Kingdom!
Program pertukaran pelajar adalah inisiatif terbaik dalam memberikan pendedahan kepada murid tentang budaya, sistem pendidikan dan kehidupan sosial di negara lain.
Menerusinya juga, ia dapat membangunkan kematangan dan keyakinan diri serta mempersiapkan mereka dengan pelbagai cabaran masa depan.
Terbaharu, Sekolah Rendah Islam (SRI) Integrasi Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor menganjurkan program pertukaran pelajar ke United Kingdom selama sebulan melibatkan empat murid dan guru pengiring.
Berkongsi dengan Sinar Bestari, Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Sheikh Mohd Zaki Sheikh Abdul berkata, pertukaran pelajar itu telah berlangsung 1 Oktober lalu di bawah program International General Certificate Of Secondary Education (IGCSE).
"Mereka ialah Sheikh Abdullah Al-Haris Sheikh Mohd Zaki, 10; Izzah Ailsa Imanudin, 9; Muhammad Adib Mohamed Fahmie, 9; Siti Nur Widad Al-Rafa Sheikh Mohd Zaki, 8; Dr Khor Mi Nee (guru penyelaras IGCSE) dan beberapa guru pengiring lain.
"Ia bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan peserta yang terlibat.
"Selain itu, memberi pendedahan dengan persekitaran negara luar, pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang serba dinamik, memperkenalkan budaya Malaysia, meraikan perbezaan budaya serta meluaskan jaringan hubungan ke arah usaha memperkasakan sistem pendidikan di sekolah,” ujarnya.
Selama sebulan di United Kingdom, Sheikh Mohd Zaki berkata, peserta akan menjalani pelbagai aktiviti di dalam dan di luar kelas.
Antara yang diikuti mereka adalah aktiviti pembelajaran, pembentangan berasaskan projek berkumpulan, sukan dan keusahawanan serta lawatan ke universiti.
Akhir sekali, Sheikh Mohd Zaki mendoakan murid-murid yang mengikut program itu dapat menjadi insan yang versatil, matang, berdaya saing dan seimbang dari sudut pencapaian akademik, akhlak serta kemahiran insaniah.