SJKC Bukit Fraser merupakan sekolah baharu kedua yang terpilih untuk menerima sumbangan buku daripada Karangkraf.
SJKC Bukit Fraser merupakan sekolah baharu kedua yang terpilih untuk menerima sumbangan buku daripada Karangkraf.

Karangkraf sumbang buku Bahasa Melayu untuk PSS SJKC Bukit Fraser

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser, Tropicana Aman, Kuala Langat merupakan sebuah sekolah yang baru sahaja dibuka

Azleenda Sahaludin
31 Jan 2023 11:46pm
A
A
A

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser, Tropicana Aman, Kuala Langat merupakan sebuah sekolah yang baru sahaja dibuka dan memerlukan sumbangan terutamanya bahan bacaan dalam bahasa Melayu.

Menurut Guru Besarnya, Chia Khai Hoon, setakat ini bahan bacaan bahasa kebangsaan itu boleh dikatakan sedikit jika dibandingkan dengan buku dalam bahasa Cina dan bahasa Inggeris.

Tambah beliau, pelbagai usaha untuk memupuk minat membaca dalam kalangan murid sekolah telah dijalankan dengan kerjasama Pusat Sumber Sekolah (PSS) antaranya menyediakan sudut bacaan di sekitar sekolah.

Untuk itu, beliau amat berterima kasih kepada Kumpulan Karangkraf melalui usahasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor kerana telah memilih SJKC Bukit Fraser sebagai salah satu sekolah baharu untuk menerima sumbangan buku.

Chia Khai Hoon
Chia Khai Hoon

“PSS merupakan pusat perkhidmatan yang menyediakan koleksi bacaan pelbagai bahasa berunsurkan nilai murni dan pendidikan kepada pelajar dan warga sekolah.

“Memandangkan sekolah kami baru dibuka, bahan bacaan bahasa Melayu masih tidak mencukupi berbanding bahan bacaan dalam bahasa Cina dan bahasa Inggeris.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai sekolah yang turut mementingkan bahasa kebangsaan, saya amat berbesar hati menerima sumbangan buku bahasa Melayu daripada Kumpulan Karangkraf dalam usaha menambah koleksi buku bahasa itu selain memupuk kepentingan membaca dalam kalangan murid,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Buku Kumpulan Karangkraf di sekolah berkenaan.

Majlis tersebut telah dirasmikan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, JPN Selangor, Sajoli Masdor.

Hadir sama, Timbalan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat Sektor Perancangan, Abdul Hamid Abdul Majid; Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Bukit Fraser, Chew Phai Hau; Pengarang Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin dan Pengarang Sinar Bestari, Mariatul Qatiah Zakaria.

SJKC Bukit Fraser sebuah sekolah yang baru beroperasi pada 21 Mac tahun lalu dengan mempunyai 289 orang murid terdiri daripada Tahun Satu hingga Enam serta 19 orang guru.

Kumpulan Karangkraf melalui usahasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor telah memilih sekolah tersebut yang merupakan sekolah baharu kedua di Selangor menerima sumbangan buku.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin memberitahu, Sinar Karangkraf akan terus memberi sumbangan buku kepada sekolah berkenaan secara berperingkat.

Ini kerana, pihaknya menyambut baik usaha sekolah menjadikan PSS sebagai tempat utama buat murid menimba ilmu selain dari bilik darjah serta terus memperkasakan sekolah-sekolah sekitar Selangor.

[caption id="attachment_50675" align="aligncenter" width="600"] Dari kini Yang Dipertua PIBG SJKC Bukit Fraser,Chew Phai Hau bersama Guru Besar menerima sumbangan daripada etua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin.[/caption]

“Sinar Karangkraf telah menyumbang dua kotak berisi buku pelbagai jenis antaranya buku cerita, buku aktiviti dan novel.

“Setelah difahamkan mengenai kekurangan buku bahasa Melayu di sini, kami akan menambahkan lagi buku jenis ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, jelajah Sinar Bestari akan diadakan di beberapa buah sekolah rendah dan menengah terpilih seluruh negara bermula Mei ini.

Jelajah tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada murid sekolah tentang gaya penulisan bahasa Melayu, mewujudkan kelab wartawan muda serta pelbagai aktiviti menarik dan perkongsian daripada pakar.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok