Karnival HIP SK Abdul Samat pupuk minat, penguasaan Bahasa Inggeris
Dalam usaha mengetengahkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris yang digariskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Sekolah Kebangsaan (SK) Abdul Samat, Selangor mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Highly Immersive Programme (HIP).
Karnival yang berlangsung selama hampir sebulan itu merupakan program jaringan kerjasama kali kedua antara sekolah berkenaan dan Kolej Universiti MAIWP Kuala Lumpur (UCMI) dengan pengisian pelbagai aktiviti dan pertandingan melibatkan murid-murid sekolah.
Ketua Penolong Pengarah, Unit Bahasa Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Hanisah Mohamad Yusof berkata, karnival ini menjadi bukti komitmen para guru, murid-murid dan ibu bapa dalam memenuhi hasrat KPM dalam memperkukuhkan kedua-dua bahasa itu.
“Berlangsungnya karnival ini adalah salah satu usaha merealisasikan hasrat KPM bagi Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris.
“Saya sendiri cukup terpesona melihat hasil kerja murid yang dipamerkan di ruangan pameran membuktikan komitmen mereka dalam usaha ini,” katanya.
Antara pertandingan yang dianjurkan menerusi karnival HIP ini adalah News Reading, Working Together Video Contest, 3D Pictionary yang menyaksikan penyertaan hampir 70 murid Tahun Dua menghasilkan 3D Pictionary yang sangat luar biasa.
Majlis perasmian penutup juga telah diserikan dengan tiga persembahan istimewa antaranya nyanyian Muhammad Daaris dan Muhammad Thaqif bertajuk You Raise Me UP, Denegizer Team UCMI (rangkaian lagu-lagu Bahasa Inggeris) selain kesemua guru Bahasa Inggeris SK Abdul Samat yang mempersembahkan lagu Ketipang Payung yang liriknya digubah ke dalam Bahasa Inggeris.
Dalam pada itu, Guru Besar SK Abdul Samat, Cikgu Rozana Adam dalam ucapannya menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang hadir dan terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam karnival HIP ini
Beliau turut memberi pujian khas kepada Panitia Bahasa Inggeris dan Persatuan Bahasa Inggeris sekolah atas usaha mereka menganjurkan program ini.