Perasmian bilik terapi multisensori SK Hutan Melintang baru-baru ini.
Perasmian bilik terapi multisensori SK Hutan Melintang baru-baru ini.

Kelab Rotary terima geran bina bilik terapi multisensori

MOHD ANAS BAHARUDIN
14 Jun 2024 05:18pm
A
A
A

Beberapa Kelab Rotary tempatan dan satu Kelab Rotary antarabangsa menerima geran global bagi penubuhan bilik terapi multisensori di Sekolah Kebangsaan (SK) Hutan Melintang, Perak khas buat kanak-kanak istimewa.

Kelab Rotary Teluk Intan bersama enam Kelab Rotary dari daerah 3,300 tempatan dan satu Kelab Rotary antarabangsa dari Singapura, daerah 3310, bersama-sama memohon geran global daripada Rotary Foundation.

Syarat utama untuk memohon geran ini adalah setiap kelab mesti menyumbang USD 1,500 setiap tahun kepada Rotary Foundation supaya layak menerima bantuan dana yang besar ini.

Permohonan tersebut diluluskan pada November 2023 dan diuruskan oleh Kelab Rotary Teluk Intan, dengan jumlah geran sebanyak USD 47,875, bersamaan lebih kurang RM220,000.

Presiden Kelab Rotary Teluk Intan, Tan Aik Kian, dalam satu temuramah menyatakan, penutupan sekolah khas Bethany Home di Hutan Melintang semasa pandemik menyebabkan sebahagian kanak-kanak istimewa tidak dapat belajar dengan baik.

“Oleh itu, selepas berbincang dengan ahli kelab, kami memutuskan untuk menubuhkan bilik terapi multisensori di SK Hutan Melintang supaya kanak-kanak istimewa di kawasan ini mendapat pendidikan yang berkualiti,” jelas beliau.

Bilik terapi multisensori khas buat kanak-kanak istimewa.
Bilik terapi multisensori khas buat kanak-kanak istimewa.

Aik Kian menyampaikan ucapan terima kasih khas kepada Guru Besar SK Hutan Melintang dan guru-guru yang terlibat serta menyokong projek atas dedikasi mereka menjayakannya.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Mohd Nasoha dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Wasanthee Sinnasamy, kerana sudi hadir dan merasmikan bilik terapi multisensori kami,” tambah beliau.

Rakan kerjasama dalam projek ini termasuk Kelab Rotary Jurong Town, Singapura, Kelab Rotary Taiping, Kelab Rotary Taiping Lake, Kelab Rotary Sitiawan, Kelab Rotary Metro Kuala Lumpur, Kelab Rotary Tampin, dan Kelab Rotary Seremban.

Untuk rekod, Kelab Rotary Teluk Intan pernah menubuhkan kemudahan yang sama di SK Dato' Raja Laksamana di Jalan Maharajalela, Teluk Intan pada tahun 2022.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok