
Irama jiwa muda, rezeki lagu terbaik
Alunan selawat yang lunak, disulam harmoni suara murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Abu Bakar Baginda, seakan menghentikan seketika hiruk-pikuk di Studio F sempena Karangkraf Ramadan Bookfest.
Dalam suasana menjelang tibanya bulan Ramadan, setiap bait lagu dilantunkan penuh penghayatan, bukan sekadar nyanyian tetapi doa mengalir dari hati, menyentuh jiwa setiap yang mendengar.
Guru pengiring, Fazirul Affendy Sharifuddin berkata, itulah aura dibawa oleh kumpulan nasyid Mutiara Baginda, yang menjadikan pentas pertandingan sebagai wadah menyemai bakat, sekali gus menyampaikan mesej dakwah melalui seni suara.
“Bagi mereka, penyertaan kali ini cukup bermakna dan ia disifatkan sebagai langkah kanan buat kumpulan tersebut bagi tahun 2026.
“Sejak ditubuhkan pada tahun 2024, saya menghimpunkan murid-murid terpilih yang komited mengasah bakat dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” katanya kepada Sinar Bestari.
Bukan itu sahaja, ujar Fazirul Affendy, latihan vokal turut dijalankan secara konsisten, selain aktif menyertai pelbagai pertandingan nasyid terbuka mahupun yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Lebih membanggakan, kumpulan Mutiara Baginda mengalunkan lagu ciptaan sendiri hasil kolaborasi bersama seorang lagi guru.
“Saya bersama seorang lagi rakan guru, Ustaz Tahir bersama dengan saya untuk menghasilkan lagu yang mereka nyanyikan tadi. DIa menghasilkan lirik dan saya mencipta lagu ini.
“Alhamdulillah, saya tak sangka juga berjaya menerima Anugerah Lagu Terbaik walaupun muridmurid ini berlatih dalam hanya dua minggu sahaja,” tambahnya.

Dua minggu berlatih
Tempoh persediaan yang singkat tidak menghalang pasukan Mutiara Baginda mengungguli pertandingan nasyid sehingga dinobatkan sebagai johan.
Tambah Fazirul Affendi, walaupun hanya sempat berlatih kira-kira dua minggu, namun komitmen tinggi dan semangat berpasukan murid-murid menjadi kunci utama kejayaan mereka memukau juri.
“Dalam masa terhad itu, murid perlu menghafal lirik, belajar melodi lagu dan menyusun harmoni suara agar setiap alunan kedengaran seimbang.
“Sesi latihan vokal dijalankan hampir setiap hari selepas sekolah, malah ada yang sanggup berlatih berkali-kali demi memastikan persembahan tampil kemas dan menyentuh jiwa.
“Kerjasama erat antara cikgu dan murid turut membantu melancarkan setiap persiapan,” katanya lagi.
Selain itu, Fazirul Affendi berkata, pasukan Mutiara Baginda akan lebih memfokuskan kepada pertandingan peringkat KPM pada April nanti.
“Semoga dengan pengalaman di Pertandingan Nasyid sempena Karangkraf Ramadan Bookfest ini menjadi pemangkin untuk mereka melangkah lebih yakin selepas ini,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Alunan selawat oleh murid-murid Sekolah Kebangsaan Dato' Abu Bakar Baginda menghiasi suasana Karangkraf Ramadan Bookfest
- Guru pengiring, Fazirul Affendy Sharifuddin, menganggap penyertaan dalam pertandingan sebagai langkah positif bagi kumpulan nasyid Mutiara Baginda
- Kumpulan ini aktif dalam pertandingan nasyid dan telah menghasilkan lagu ciptaan sendiri
- Pasukan Mutiara Baginda berjaya memenangi Anugerah Lagu Terbaik walaupun hanya berlatih selama dua minggu
- Fokus seterusnya adalah pertandingan peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia pada bulan April
