Cikgu Mohd Norfahiz (tiga dari kanan) menerima 110 naskhah al-Quran hasil sumbangan KKKP, UTHM baru-baru ini.
Cikgu Mohd Norfahiz (tiga dari kanan) menerima 110 naskhah al-Quran hasil sumbangan KKKP, UTHM baru-baru ini.

Murid SK Peserai terima 110 naskhah al-Quran

ROSHLAWATY MD RAIEH
01 May 2023 08:48am
A
A
A

Sebanyak 110 naskhah al-Quran telah disumbangkan Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kepada warga Sekolah Kebangsaan (SK) Peserai, Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Sumbangan tersebut telah disampaikan Pengetua KKKP, Ts Suhairi Ismail kepada Penolong Kanan Satu, Mohd Norfahiz Mohd Pathan selaku wakil SK Peserai.

Menurut Suhairi, al-Quran itu telah diagihkan kepada 105 murid Tahun Enam dan lima murid Berkeperluan Pendidikan Khas dari sekolah tersebut.

“Sumbangan al-Quran ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab khidmat sosial KKKP kepada masyarakat luar.

"Diharapkan kitab suci ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh warga sekolah di samping menyemarakkan lagi semangat cintakan ilmu dan pengamalan agama dalam kalangan murid-murid," ujar Suhairi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengetua Satu, KKP, Dr Mohd Faisal Hushim dan Timbalan Pengetua Dua, Ts Dr Md Norrizam Mohmad Ja’at @ Mohd Noh.

Sementara itu, Cikgu Mohd Norfahiz mengucapkan terima kasih kepada pihak kolej dari UTHM kerana memilih sekolah mereka untuk agihan al-Quran kepada anak-anak muridnya.

"Kami sangat gembira kerana dipilih sebagai penerima kitab suci ini.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, semua al-Quran yang diberikan akan digunakan sebaik mungkin oleh murid yang menerimanya," jelas beliau.

INFO

Sejarah ringkas SK Peserai

Nama asal SK Peserai ialah Sekolah Melayu Lelaki Peserai. Ia mula dibina pada 1909 di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh Allahyarham Abd Wahid.

Pada 1920, bangunan baru beratap genting telah dibina untuk menggantikan bangunan lama.

Pada 1951, sebuah bangunan lagi telah dibina dan dinamakan Sekolah Perempuan Seri Kampung Peserai. Selepas itu, sekolah ini bertukar lagi nama kepada SK Peserai.

Pada 1976, bangunan baru setinggi tiga tingkat telah dibina yang dilengkapi 12 buah bilik darjah, pejabat, kantin, tempat letak basikal dan padang.

Kemudian, pada 1983, beberapa buah bilik darjah lagi telah ditambah hasil daripada gotong-royong semua pihak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok