Pasukan SK Parit rangkul pingat emas di PIID 2023! Guru Besar sebak dan titip pesanan khas kepada ahli kumpulan
Inovasi F2B yang dihasilkan pasukan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit, Perak muncul penerima Pingat Emas pada pertandingan Penang International Invention, Innovation & Design (PIID) 2023 di Dewan Besar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh baru-baru ini.
Kemenangan kumpulan yang dianggotai tiga murid dan dua guru pembimbing itu secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka membawa pulang plak dan sijil penghargaan yang disediakan pihak penganjur.
Menurut Guru Besar, Hamzah Zakaria, kemenangan anak-anak didiknya itu telah memberi kegembiraan berterusan kepada seluruh warga sekolah.
“Ini adalah pertandingan julung kali yang disertai murid dan guru dari SK Parit.
“Memang saya dan rakan-rakan cikgu tidak menyangka mereka diumum sebagai penerima Pingat Emas. Rasa sebak, gembira dan syukur atas pencapaian dan pengiktirafan yang diberikan.
“Pesanan saya, semoga kejayaan ini memberi semangat kepada mereka dan seluruh warga sekolah untuk terus mencipta inovasi yang lebih menarik sekali gus memberi impak tinggi kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.
PIID 2023 merupakan pertandingan inovasi yang disertai sekolah dan universiti tempatan serta beberapa universiti dari luar negara.
Antara sekolah yang mengambil bahagian dalam PIID 2023 adalah SMA Taruna Bakti Bandung, Indonesia yang mempertaruhkan inovasi Search Work untuk dinilai.
Sementara itu, Guru Pembimbing bagi F2B, Cikgu Zuraida Ramly berkata, inovasi tersebut merupakan satu bentuk permainan di mana murid-murid perlu memusingkan silinder satu persatu seperti permainan roda impian untuk memahami peringkat fasa bulan dengan tepat.
“Dalam mata pelajaran Sains Tahun Lima, terdapat topik Fasa Bulan Dan Buruj (Fasa Bulan) yang perlu dikuasai oleh murid-murid.
“Topik tersebut dianggap sukar oleh mereka kerana perlu menghafal bentuk bulan yang terdapat dalam buku teks.
“Justeru, kami menghasilkan inovasi F2B bagi membantu murid-murid memahami tajuk dengan lebih jelas dan mendalam,” ujarnya.
Jelas Cikgu Zuraida, F2B begitu unik kerana ia menggunakan barang-barang terpakai yang mudah dimiliki dengan harga murah.
“Kami menggunakan kertas warna, gabus silinder, botol plastik dan kayu chopstick untuk menyiapkan produk itu.
“Bahan-bahan ini adalah untuk dijadikan tapak fasa bulan merangkumi gambar bulan, tarikh bulan dan nama fasa bulan yang dilekatkan di sekeliling gabus silinder.
“Hampir sebulan masa diperlukan untuk menyiapkan F2B dan sebagai guru pembimbing, saya cukup berpuas hati dengan usaha keras yang dilakukan oleh semua ahli pasukan,” akhiri beliau kepada Sinar Bestari.