Pertandingan debat cilik cungkil bakat pengucapan awam murid

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
02 Sep 2024 11:41am
A
A
A

Pertandingan Debat Cilik Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Negeri Selangor yang diadakan baru-baru ini, membuktikan bahawa murid mampu menyerlahkan bakat mereka terutamanya dalam pengucapan awam.

Meskipun ia masih baharu di peringkat sekolah rendah, namun pertandingan debat cilik ini menampilkan ramai pelapis yang bakal menggegarkan dunia perdebatan suatu hari nanti.

Penyelaras Debat Negeri Selangor merangkap Pegawai Teknikal Debat, Siti Habibah Juddin berkata, pertandingan ini merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor melalui Unit Pembangunan Bakat Murid dengan kerjasama Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Shah Alam serta Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Naga.

Katanya, penyertaan tahun ini juga melibatkan seluruh sekolah di daerah Selangor dengan penyertaan sebanyak 24 sekolah.

“Tahun ini kita menerima seramai 120 peserta dan 48 guru pembimbing bagi merangkul gelaran juara.

“Pasukan diumumkan sebagai juara akan mewakili Selangor ke Pertandingan Debat Bahasa Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan pada Oktober nanti di Wilayah Persekutan Labuan,” katanya.

Ditanya mengenai tujuan utama pertandingan ini diadakan, kongsi Siti Habibah, ia tidak lain dan tidak bukan untuk mencungkil bakat murid sekolah rendah dalam kemahiran komunikasi, selain melatih mereka agar berfikiran kritis dan kreatif.

“Di peringkat JPN Selangor, selain melahirkan murid berfikiran kritis dan kreatif yang dapat menyampaikan idea secara spontan, kami juga ingin membentuk pelapis pemimpin berkaliber.

“Kita hendak tingkatkan kredibiliti murid Selangor agar lebih menonjol dan berkualiti serta berani tampil ke hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM, Profesor Dr Jamalunlaili Abdullah berkata, pertandingan debat cilik merupakan usaha yang bagus dalam mengetengahkan bakat generasi muda sejak di bangku sekolah.

Ia dilihat sebagai platform awal buat mereka agar lebih berani menyuarakan pendapat dan bercakap di hadapan orang ramai.

“Jalinan kerjasama antara JPN dan UiTM ini adalah satu peluang untuk memberi pendedahan awal kepada mereka tentang suasana di universiti, selain menyuntik semangat untuk terus belajar sehingga ke tahap tertinggi.

“Selaku tuan rumah, kami di UiTM amat berbesar hati kerana kita dapat lihat bakat-bakat murid Selangor.

“Saya doakan semoga pasukan yang dapat mewakili negeri ke peringkat kebangsaan membawa pulang kejayaan,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok