PIBKS Putrajaya jayakan Pertandingan Video Kreatif
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9 (2), Putrajaya, Aufa Adeliyya telah memenangi Pertandingan Video Kreatif Raya Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Putrajaya dengan mendapat jumlah tontonan mencecah satu juta di platform media sosial.
Pertandingan anjuran PIBKS Putrajaya adalah usaha kerjasama dengan syarikat Durioo Sdn Bhd, penyedia kandungan selamat dan manfaat kepada anak-anak di aplikasi Durioo+.
Program ini mendapat sambutan hangat dalam kalangan murid dan berjaya menarik penyertaan melebihi 100 video kreatif di dalam masa yang singkat.
Setiap murid dibenarkan untuk menghantar lebih daripada satu penyertaan.
Menurut Guru Besar SK Putrajaya Presint 9 (2), Mohd Amin Hamzah, program berkenaan telah membuahkan hasil kepada murid-murid di mana hantaran video mereka berjaya diterima untuk dimuat naik ke aplikasi Durioo+.
Acara majlis penyampaian hadiah dijayakan oleh guru besar sekolah terbabit, Pengurus Pencipta Kandungan Durioo+, Muhammad Zulrizal Mohamad Azlin dan Focal Person PIBKS, Mohammad Sahar Mat Din yang sudi menyampaikan hadiah kepada kepada semua pemenang.
PIBKS Putrajaya komited bersama Durioo dalam menjayakan Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan Malaysia dengan lebih meluas ke seluruh negara.
SK Putrajaya Presint 9(2) adalah salah sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Wilayah Persekutuan Putrajaya, cemerlang dalam pelbagai bidang sejak ditubuhkan pada tahun 2005.
Sekolah berprestij tersebut telah menjadi pilihan dalam merintis pertandingan menjana pendapatan menerusi penciptaan kandungan di aplikasi peranti pintar.