SJKT PJS 1, SJKT ke-100 di Selangor. 25 murid hadiri sesi persekolahan baharu
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) PJS 1, Petaling Jaya, Selangor, memulakan sesi persekolahan baharu dengan dihadiri 25 murid.
Begitupun, sekolah baharu berkenaan yang merupakan SJKT ke-100 di negeri Selangor mendapat kunjungan istimewa Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.
Kehadiran Hui Ying disambut Guru Besar SJKT PJS 1, Rajaletchumy Rajaratnam bersama guru-guru, murid-murid serta ibu bapa.
Rajaletchumy berkata, dia berbangga kerana ditempatkan di sekolah berkenaan yang merupakan SJKT ke-100 di negeri Selangor.
"Saya sangat bersyukur kerana dapat memberi khidmat kepada sekolah yang dilengkapi pelbagai kemudahan yang diimpikan setiap ibu bapa.
"Kami sebagai warga pendidik akan menggalas kehendak Kementerian Pendidikan (KPM) mereaslisasikan kemenjadian murid.
"Kita akan menjadikan mereka yang terbaik dari segi pendidikan, kokurikulum dan kemahiran pada diri murid-murid ini," katanya ketika ditemui selepas lawatan Timbalan Menteri Pendidikan sempena pembukaan SJKT PJS 1, Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.
Hui Ying turut menyampaikan cenderahati kepada murid-murid dan meluangkan masa melawat kelas-kelas di sekolah itu.
Beliau menambah, sekolah akan memastikan hasrat KPM dapat dicapai walaupun sekolah berkenaan masih baharu.
Tuturnya lagi, ibu bapa perlu menggunakan sepenuhnya kemudahan yang terdapat di sekolah tersebut untuk manfaat anak masing-masing.
"Sekolah ini dilengkapi 24 bilik darjah dan kemudahan asas lain seperti kantin, makmal, tempat menunggu bas dan pondok pengawal.
"Sehingga hari ini, terdapat 25 murid yang memulakan sesi persekolahan baharu.
"Bagaimanapun, berikutan masa terlalu singkat, terdapat ibu bapa yang masih menunggu pertukaran anak-anak ke sekolah ini," ujarnya.
Rajaletchumy memberitahu, dia menjangkakan ia akan mencecah sehingga 100 murid dalam tempoh dua minggu ini.