Semoga warisan sekolah ini berkekalan dan dikenangi oleh semua warga SK Dato Demang Hussin.
Semoga warisan sekolah ini berkekalan dan dikenangi oleh semua warga SK Dato Demang Hussin.

SK Dato Demang Hussin genap 100 tahun

20 Aug 2024 11:10am

Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Demang Hussin, Bukit Katil, Melaka meraikan penubuhannya yang ke-100 tahun di Majlis Makan Malam 100 Tahun, baru-baru ini.

Sekolah itu bermula operasi pada 5 Julai 1924, dahulunya dikenali sebagai Sekolah Rendah Umum Bukit Katil dan genap usia 100 tahunnya pada 5 Julai 2024.

Guru Besar, Hamime Abd Hamid dalam ucapannya menyatakan, perubahan pembangunan fizikal sekolah selama ini seiring dengan arus lonjakan transformasi dan modenisasi dalam sistem pendidikan negara.

“Insya-ALLAH pada awal tahun depan, dua blok bangunan lagi akan didirikan di kawasan lapang di luar sana untuk 12 bilik darjah dan bilik-bilik khas.

“Dengan genapnya usia 100 tahun sekolah ini, kami mengharapkan kerjasama dan sokongan semua pihak agar impian untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan dapat direalisasikan di sekolah ini,” ujar beliau dengan menyatakan harapan untuk menyediakan kemudahan terbaik bagi kegunaan murid.

Tambahnya, bagi menyokong Dasar Pendidikan Digital yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), beliau berharap agar sekolah itu dapat menyediakan keperluan pendidikan digital yang lebih meluas dan membudayakan teknologi secara imersif.

“Impian kami untuk melengkapi bilik darjah di sekolah ini dengan peralatan digital seperti LCD projektor, visualiser dan Smart TV bagi kegunaan anak-anak didik di dalam kelas,” katanya.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Mohd Rustam memeriahkan majlis tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp