Barisan debat SK Jalan Tiga bergambar kenangan bersama guru pengiring selepas dinobatkan sebagai juara.
Barisan debat SK Jalan Tiga bergambar kenangan bersama guru pengiring selepas dinobatkan sebagai juara.

SK Jalan 3 galas tanggungjawab berat

Bakal wakili Selangor ke Pertandingan Debat Cilik Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
02 Sep 2024 10:03am

Usaha tidak akan mengkhianati hasil.

Itu antara semangat dipegang ahli pasukan debat Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan 3, Bandar Baru Bangi, Selangor sehingga berjaya mengalahkan bidasan pihak lawan, sekali gus diangkat sebagai juara Pertandingan Debat Cilik Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Negeri Selangor, baru-baru ini.

Kejayaan yang dikecapi itu hasil penat lelah dan usaha gigih seluruh ahli pasukan debat bersama guru pembimbing yang tidak pernah berhenti memberi tunjuk ajar agar mereka dapat melakukan sehabis baik sepanjang pertandingan berlangsung.

Wakil pasukan debat sekolah, Muhammad Ehsan Abdul Syukor meluahkan rasa bangga dan gembira di atas kejayaan yang dikecapi setelah berhempas-pulas sepanjang latihan selama hampir dua bulan.

Muhammad Ehsan
Muhammad Ehsan

Murid Tahun Lima sekolah itu menggalas tugas sebagai ‘Perdana Menteri’ mewakili kerajaan, telah menumpaskan bidasan pihak ‘pembangkang’ dengan usul bertajuk Pempengaruh Media Sosial Ikon Generasi Madani.

“Alhamdulillah, pasukan kami berjaya sampai ke tahap ini walaupun bagi saya ia agak memenatkan kerana perlu membahagi masa antara pelajaran dan sesi latihan.

“Apatah lagi perlu menghadapi Ujian Pertengahan Tahun, namun itu tidak mematahkan semangat pasukan untuk terus berusaha," katanya ketika ditemui Sinar Bestari.

Ditanya mengenai persiapan yang dilakukan, Muhammad Ehsan memberitahu, dia dan ahli pasukan kerap bertanya kepada guru pembimbing dan bersama-sama mencari maklumat terutamanya bagi menguatkan usul yang didebatkan.

“Terima kasih kepada cikgu yang turut sama berusaha gigih untuk pasukan dan membantu kami dalam setiap sesi latihan sehingga kini.

“Mungkin tanpa bantuan cikgu, kami tidak berada di sini," ujarnya lagi.

Bagaimanapun dia dan pasukan perlu berusaha lebih serta berlatih dengan giat bagi mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan tidak lama lagi.

Bersama harapan meraih kejuaraan sekali lagi, dia menegaskan untuk tidak mudah berputus asa disusuli dengan latihan berkala.

Norfamiza
Norfamiza

Guru pembimbing SK Jalan 3, Norfamiza Moktar berkata, pihaknya akan membuat persiapan awal bagi merebut gelaran juara di peringkat kebangsaan pula nanti.

Selain usaha, dorongan dan pemikiran yang kental turut diselitkan dalam diri ahli pasukan debat agar mereka tampil yakin sekali gus mampu mengalahkan pasukan lawan.

“Jika kena marah atau tegur, itu adalah pemangkin meraih kemenangan. Insya-ALLAH, persiapan awal akan dilakukan dan pastinya buat yang terbaik nanti," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp